‘Tok Min’ pecah rekod lagi? Negeri Sembilan raih pelaburan RM19.1 bilion tertinggi dalam sejarah
Negeri Sembilan merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM19.1 bilion pada 2025, angka tertinggi pernah dicapai negeri itu dan hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Menurut laporan yang disiarkan infiru.my, pencapaian itu sekali gus mengatasi rekod terdahulu sebanyak RM10.1 bilion yang dicatatkan pada 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai antara destinasi pelaburan utama negara.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan pentadbiran negeri serta dasar mesra pelaburan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Berdasarkan rekod yang dikongsikan beliau, prestasi pelaburan Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2018, negeri itu merekodkan pelaburan sebanyak RM1.91 bilion sebelum meningkat kepada RM2.86 bilion pada 2020.
Jumlah itu terus melonjak kepada RM6.96 bilion pada 2021, RM7.93 bilion pada 2022 dan RM10.1 bilion pada 2023.
Walaupun menurun kepada RM7.2 bilion pada 2024, prestasi pelaburan kembali melonjak pada 2025 dengan nilai RM19.1 bilion, sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam sejarah negeri.
Peningkatan itu berlaku ketika Negeri Sembilan giat menarik pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, elektrik dan elektronik (E&E), logistik, teknologi serta industri berorientasikan eksport.
Kerajaan negeri sebelum ini turut memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur, mempercepat proses kelulusan pelaburan dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif bagi menarik pelabur tempatan serta asing.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan pelaburan yang dibawa masuk mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
Beliau turut menyifatkan rekod pelaburan itu sebagai hasil kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan dalam memperkukuh daya saing negeri di mata pelabur.
BACA JUGA Hassan yakin PRU16 undi Cina kembali kepada PH