Aminuddin sedia tempuh cabaran di Linggi, yakin PH mampu rampas kubu kuat BN

FOTO BERITA: Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan.Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timb Pengerusi, YB Datuk Seri Mohamad Sabu dan YB Loke Siew Fook dan YB Aminuddin Harun di Dataran Melang, Kuala Pilah Negeri Sembilan. 14hb Julai 2026 (Selasa)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keputusan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi bukan kerana kawasan itu dianggap selamat, sebaliknya sebagai usaha merampas kubu tradisi Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Linggi merupakan kerusi yang tidak pernah dimenangi Pakatan Harapan sebelum ini, namun yakin dengan sokongan jentera dan rakyat, PH mampu mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Linggi bukan kerusi selamat. Itu adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional. Kita pernah bertanding di situ dan kalah, tetapi kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kita berusaha sedaya upaya meraih kemenangan. Insya-Allah,” katanya.

Mengulas perpindahannya daripada DUN Sikamat ke Linggi, Aminuddin berkata beliau melihat langkah itu sebagai peluang untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta memperkukuhkan kedudukan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

“Saya rasa inilah peluang saya untuk memberikan khidmat kepada penduduk di Linggi bagi memastikan Pakatan Harapan terus berjaya pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada pengundi DUN Sikamat yang telah memberikan sokongan kepada beliau sejak Pilihan Raya Umum 2008.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi Sikamat. Saya amat terhutang budi kepada mereka dan saya sayang mereka. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan kepada calon baharu Pakatan Harapan seperti mana yang telah diberikan kepada saya sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata keyakinan itu berasaskan hubungan erat yang dibina bersama penduduk Sikamat sepanjang tempoh beliau menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.
