‘Nak letak jawatan apa? Saya tak ada jawatan apa-apa pun dalam kerajaan negeri’ – Adly
Kekal teguh menyokong kerajaan negeri Melaka meskipun empat wakil rakyat DAP memilih pendirian berbeza semalam.
Itu pendirian Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pengerusi AMANAH negeri.
Wakil rakyat tunggal AMANAH di Melaka itu berkata, beliau masih menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
ADUN Bukit Katil itu berkata, tidak ada keperluan untuk beliau menarik sokongan terhadap Ab Rauf buat masa ini walaupun empat rakannya dari DAP berbuat demikian semalam.
“Buat masa ini memanglah kita tahu bahawa kita sebagai seorang ADUN, Ketua Menteri kita dia (Ab Rauf) seorang (sahaja) bukan ada ramai pun.
“Soal jawatan, saya nak letak jawatan apa? Saya tak ada jawatan apa-apa pun dalam kerajaan negeri ketika ini,” katanya pada sidang media di Seri Negeri hari ini.
Dalam masa sama, Adly memaklumkan perbincangan akan dilakukan esok susulan saranan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya DAP menangguhkan dulu hasrat keluar dari pentadbiran kerajaan negeri.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, PH Melaka belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kedudukan blok tersebut dalam kerajaan negeri setakat ini.
Mekanisme tersendiri
Menurut Ahli Parlimen Alor Gajah itu, PH mempunyai mekanisme tersendiri dalam menyelesaikan sebarang isu yang membabitkan parti komponennya sebelum sesuatu pendirian diumumkan.
“Esok kita akan berbincang dan pandangan semua ADUN serta parti dalam PH akan diambil kira, selepas itu kita akan maklumkan keputusan rasmi.
“Memang kalau kita lihat mereka (empat ADUN DAP) ada maklumkan tindakan (tarik sokongan) dan setiap parti dalam PH ada hak masing-masing untuk bertindak, cuma bila dia bertindak atas nama PH, kita akan bincangkan secara konsensus.
“Ini dibuat tanpa menidakkan hasrat parti masing-masing, keutamaan kita tetap (perkhidmatan) kepada rakyat,” kata Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka itu lagi.
BACA JUGA AMANAH pertaruh barisan berpengalaman, anak muda dan pemimpin akar umbi di Negeri Sembilan