Anwar zahir dukacita pemergian sahabat karib, Prof John Espasito

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian rakan karibnya, Prof. John L. Esposito, seorang tokoh akademik yang disifatkan sebagai antara sarjana terkemuka dunia dalam bidang pengajian Islam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau mula mengenali Esposito pada awal 1970-an dan persahabatan mereka berkekalan selama lebih lima dekad.

Menurut beliau, Espasito telah membina asas intelektual untuk pemahaman mendalam terhadap Islam di Barat, malah sumbangannya kepada perjuangan pemahaman Muslim-Kristian juga sangat besar. 

“Beliau membina jambatan dialog ketika orang lain berpuas hati untuk membina tembok peradaban,” katanya.

Mengimbau peranan besar Espasito, Anwar berkata, tokoh terkemuka dalam bidang pengajian Islam itu telah mengasaskan Pusat Pemahaman Muslim-Kristian Georgetown; menyunting Oxford Encyclopedia of the Islamic World; dan berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pengajian Timur Tengah Amerika Utara.

Beliau juga menjadi penulis bersama John Voll, menerbitkan “Makers of Contemporary Islam,” – sebuah kajian tentang laluan yang pelbagai dan sering berbeza yang diambil oleh pemikiran politik Muslim moden.

Anwar menyifatkan karya Esposito seperti What Everyone Needs to Know About Islam serta Who Speaks for Islam? yang ditulis bersama Dalia Mogahed sebagai antara hasil penulisan penting yang membantu memperluaskan kefahaman mengenai Islam, khususnya selepas tragedi 11 September 2001.

Mengimbau hubungan peribadi mereka, Anwar berkata Esposito bukan sahaja seorang sarjana yang disegani, malah sahabat yang sentiasa memberikan nasihat serta berdiri bersamanya dalam pelbagai keadaan.

“Saya akan mengingati John bukan sahaja sebagai seorang cendekiawan yang hebat, tetapi juga sebagai sahabat yang nasihatnya amat saya hargai selama bertahun-tahun. 

“Beliau bukan sahaja murah hati, malah sentiasa teliti dalam penulisan akademiknya. Beliau juga sentiasa bersama saya dalam susah dan senang.

“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada isteri beliau, Jean, serta seluruh ahli keluarga, rakan sejawat dan para pelajarnya.

“Semoga legasi keilmuan dan dialog yang dibinanya sepanjang hayat terus memberi manfaat. Beliau sehingga ke akhir hayat merupakan sahabat sejati kepada dunia Islam,” katanya.

BACA JUGA Cendekiawan Islam Prof. John Esposito dilapor meninggal dunia