Isu nama jalan diputar jadi sentimen kaum, ini fakta sebenar tindakan Tok Min

Tohmahan kononnya Kerajaan Negeri Sembilan diterajui Pakatan Harapan (PH) sewenang-wenangnya menukar nama jalan kepada nama tokoh Cina merupakan propaganda separuh benar yang sengaja dimainkan bagi membangkitkan kemarahan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pemerhati politik, Liyana Marzuki berkata, penelitian terhadap isu berkenaan menunjukkan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebenarnya mengambil pendekatan seimbang dengan mengiktiraf sumbangan tokoh masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama.

Menurutnya, pada 2023, kerajaan negeri mengumumkan pertukaran nama dua jalan secara serentak, bukannya hanya memberikan penghormatan kepada seorang tokoh masyarakat Cina seperti yang digambarkan pihak tertentu.

Jalan Sikamat dinamakan semula bersempena bekas Mufti Negeri Sembilan, Allahyarham Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad, manakala Jalan Temiang menggunakan nama Dr Chen Man Hin, seorang tokoh tempatan yang banyak berjasa.

“Maknanya, apa yang pihak berkuasa tempatan lakukan ialah mengiktiraf semua tokoh yang berjasa tanpa mengira kaum dan agama.

“Di Malaysia, masyarakat bukan Melayu juga merupakan warganegara yang turut menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Bukan baharu

Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC) itu berkata, isu penamaan jalan menggunakan nama tokoh masyarakat Cina bukanlah perkara baharu dan telah lama dilaksanakan ketika MCA menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Beliau memberikan contoh beberapa jalan yang dinamakan sempena tokoh terdahulu seperti Jalan Yap Ah Loy, Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Leong Yew Koh, Jalan Loke Yew, Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Kia Peng.

Katanya, pada 2010, Jalan Pelanduk Putih di Melaka turut dinamakan semula sebagai Jalan Reverend Seet Kim Beng sebagai penghargaan kepada tokoh masyarakat berkenaan.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai langkah bijak dan adil kerana penghormatan kepada Dr Chen diseimbangkan dengan pengiktirafan terhadap bekas mufti negeri itu dalam pengumuman yang sama.

“Saya rasa apa yang Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Tok Min lakukan adalah bijak. Satu penghormatan diberikan kepada tokoh masyarakat Cina dan pada masa sama, penghargaan turut diberikan kepada bekas mufti.

“Kita hidup di Malaysia dan boleh terus hidup secara harmoni bersama,” kata bekas Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu.

Dalam masa sama, Liyana turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan kandungan yang hanya memetik sebahagian fakta untuk mencetuskan persepsi buruk terhadap kerajaan.

Menurutnya, taktik memainkan sentimen kaum dan agama lazimnya kembali digunakan setiap kali musim pilihan raya bagi menakutkan pengundi serta merosakkan keharmonian masyarakat.

“Dalam musim PRN ini, kita perlu sentiasa menyemak fakta kerana propaganda dan fitnah berleluasa.

“Mari kita semak fakta dan bersama-sama melawan propaganda,” tambah pengendali podcast ‘Jangan Pajak Otak’ itu lagi.

BACA JUGA Ustaz Shahir jawab tohmahan PH sekular, bawa politik khidmat bukan ketakutan di Paroi