Kampung, sekolah dan belia dibantu serentak, Mantin terima RM800,000

Kementerian Pengangkutan (MOT) memperuntukkan RM800,000 bagi melaksanakan tiga inisiatif Malaysia MADANI di Mantin, Negeri Sembilan, merangkumi pembangunan kampung, pemerkasaan pendidikan digital dan latihan kemahiran belia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata peruntukan itu disalurkan menerusi pelancaran Program Kampung Angkat MADANI (KAM), Sekolah Angkat MADANI (SAM) dan Santuni MADANI 2026, yang disifatkan sebagai usaha jangka panjang untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Menurutnya, pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan masyarakat secara menyeluruh berteraskan nilai ihsan dan kesejahteraan.

“Bagi Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Baru Mantin, sebanyak RM600,000 diperuntukkan secara mampan, dengan RM500,000 disalurkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi melaksanakan projek infrastruktur fizikal.

“Selebihnya RM100,000 disalurkan kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong untuk program latihan TVET yang bertujuan meningkatkan kemahiran serta peluang pekerjaan golongan belia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, melalui Program Sekolah Angkat MADANI, SJK(C) Chung Hua Mantin menerima peruntukan RM100,000 bagi pembelian Smart Board, di samping latihan profesional kepada guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) bagi memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam proses pembelajaran.

Dalam pada itu, Anthony berkata Program Santuni MADANI di Kampung Mantin Dalam memberi tumpuan kepada aspek keselamatan jalan raya menerusi pengagihan topi keledar kepada penduduk, selain menyelesaikan isu-isu setempat melalui pendekatan kerjasama bersama komuniti.

Beliau berkata ketiga-tiga program itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pembangunan komuniti secara mampan, bukan sekadar menyediakan bantuan sekali sahaja.

“MOT komited memperkukuh kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan program ini memberi impak yang berkekalan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

BACA JUGA RENCANA | Dulu Azmin, Mahiaddin, Hamzah…kini giliran Tok Mat dalam strategi Pas pecahkan BN