Terbukti SARA bukan bantuan atas kertas, hampir 9 juta rakyat sudah menikmatinya

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus membuktikan keberkesanan pendekatan bersasar Kerajaan MADANI apabila mencatat kadar penggunaan 99 peratus dalam kalangan hampir sembilan juta rakyat menerima bulanan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen hari ini berkata, nilai transaksi perbelanjaan SARA mencecah RM3.45 bilion setakat tahun ini.

Menurutnya, bagi program SARA Untuk Semua pula, kira-kira 22 juta rakyat membuat perbelanjaan iaitu 87 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM1.77 bilion.

“Satu daripada petunjuk utama keberkesanan program STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana adalah berdasarkan prestasi perbelanjaan oleh penerima yang turut memberi kesan gandaan kepada ekonomi tempatan,” menurut MOF.

Penjelasan MOF itu bagi menjawab soalan Datuk Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai petunjuk utama yang digunakan kerajaan bagi menilai keberkesanan program STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Jelas MOF, SARA adalah bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad dan boleh digunakan di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA.

Program bantuan itu melibatkan pembelian 15 kategori barangan keperluan asas, termasuk makanan asas, barangan kebersihan diri, barangan kebersihan rumah dan ubat-ubatan.

Pendekatan tersebut, kata MOF, membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan golongan sasar benar-benar memanfaatkan bantuan bagi tujuan dinyatakan.

Dalam masa sama, MOF memaklumkan peruntukan bagi STR dan SARA meningkat kepada RM15 bilion pada 2026 berbanding RM10 bilion pada 2024.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta menyediakan bantuan secara lebih bersasar.

Tambah MOF lagi, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program bantuan bagi memastikan ia disalurkan kepada golongan yang memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

BACA JUGA Tok Min imbas suka duka di Sikamat, tekad bekerja keras untuk rakyat di DUN Linggi