Usah biar pembangunan terhenti, Anwar rayu rakyat Negeri Sembilan kekalkan Tok Min
Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Negeri Sembilan supaya terus memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Aminuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Min telah memimpin Negeri Sembilan sejak 2018 dengan penuh amanah, sederhana dan berintegriti.
Menurut Anwar, keserasian yang terjalin antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah membolehkan pelbagai usaha pembangunan dilaksanakan demi manfaat rakyat Negeri Sembilan.

Namun, beliau menegaskan masih banyak perancangan dan usaha yang perlu diteruskan bagi memastikan negeri berkenaan bergerak ke arah masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.
“Dengan penuh rasa rendah diri, saya merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan kepercayaan kepada HARAPAN di bawah pimpinan Tok Min.
“Jangan biarkan usaha yang telah kita bina bersama ini terhenti di pertengahan jalan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Kepentingan rakyat
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, mandat kepada PH penting bagi memastikan Negeri Sembilan terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan sentiasa bekerja untuk kepentingan rakyat.
Jelasnya, kestabilan politik serta hubungan erat antara pentadbiran negeri dan Persekutuan merupakan asas penting bagi memastikan projek pembangunan, kebajikan rakyat dan pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Insya-Allah, HARAPAN akan terus memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih makmur dan sejahtera,” kata Perdana Menteri lagi.

Dalam PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini, Aminuddin bertanding di DUN Linggi sekaligus meninggalkan kubu kuatnya di Sikamat yang dimenangi beliau selama empat penggal berturut-turut sejak 2008.
Linggi antara kawasan kukuh bagi Barisan Nasional (BN) yang kini disandang Datuk Mohd Faizal Ramli.
Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menggunakan perkataan “lanyak” ketika menegaskan blok parti itu akan memberi tentangan sengit kepada Aminuddin di Linggi.

Bagaimanapun, Tok Min dalam reaksinya berkata, keputusan untuk bertanding di Linggi dibuat atas keinginan untuk meluaskan khidmat kepada rakyat di kawasan lain.
Tok Min turut menafikan tohmahan kononnya beliau melarikan diri dari kawasan lama.
Sebaliknya, kata beliau, ia didorong oleh tanggungjawab untuk membawa pengalaman pentadbiran dan rekod kerjanya kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
“Saya juga terpanggil untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan lain, terutamanya di DUN Linggi.
“Kawan-kawan tahu rekod saya mengurus negeri,” kata Pengerusi PH Negeri Sembilan itu lagi.
BACA JUGA ‘Nak lanyak saya di Linggi?’, Tok Min jawab serangan dengan rekod kerja bukan politik kebencian