Aiman Athirah perkenal Hajah Zarina sebagai calon Harapan N.09 Lenggeng, tekad teruskan agenda pembangunan negeri

FOTO BERITA: Sidang media oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu Ketua Wanita Pakatan dan calon Harapan N.09 Lenggeng, Hajah Zarina. Hadir bersama YB Dr. Hafidzah Mustakim ADUN Kota Lama di Dewan Terbuka, Kg. Panchor, Negeri Sembilan. 17hb Julai 2026 (Jumaat)

Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu hari ini memperkenalkan Hajah Zarina Abu Zarin sebagai calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Lenggeng pada sidang media yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Panchor, Negeri Sembilan. Menurut Aiman Athirah, Hajah Zarina dipilih selepas melalui penelitian yang rapi dan bukan sekadar memenuhi kuota calon wanita.

“Beliau merupakan seorang tokoh wanita yang berpengalaman serta layak diberikan amanah untuk menggalas tugas sebagai wakil rakyat di DUN Lenggeng. Beliau telah menunjukkan khidmat yang nyata kepada masyarakat, khususnya di Gombak dan Negeri Sembilan, selain mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa Pakatan Harapan mempertaruhkan empat calon wanita pada Pilihan Raya Negeri kali ini, terdiri daripada wakil DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

Aiman Athirah menyeru rakyat Lenggeng agar memberikan sokongan kepada Hajah Zarina demi memastikan kesinambungan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Katanya, sepanjang tujuh tahun pentadbiran Pakatan Harapan, Negeri Sembilan telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan termasuk kedudukan rizab kewangan negeri yang kukuh, sekali gus membolehkan agenda pembangunan diteruskan.

Sementara itu, Hajah Zarina berkata pencalonannya merupakan pengalaman pertama beliau bertanding dalam pilihan raya umum, namun yakin dengan pengalaman lama berkhidmat di lapangan dan bersama masyarakat.

“Persediaan mental dan fizikal amat penting, namun saya sudah lama berada di lapangan. Berkhidmat kepada masyarakat adalah sesuatu yang saya amat minati dan saya bersedia memikul amanah sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat Lenggeng,” katanya.

Beliau berkata, antara keutamaan yang akan diberikan sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri ialah memperkukuhkan sektor kesihatan, pendidikan, ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Selain itu, beliau turut berhasrat memajukan sektor pertanian memandangkan Lenggeng mempunyai potensi besar dalam bidang tersebut.

Mengulas mengenai kawasan DUN Lenggeng, Hajah Zarina berkata kawasan itu mempunyai kepelbagaian geografi meliputi kawasan berbukit, perkampungan dan kawasan separa bandar yang memerlukan pendekatan pembangunan yang menyeluruh demi kesejahteraan penduduk.