Barat mula berpecah? Trump, Eropah dan China kini dalam percaturan baharu
Perpaduan blok Barat yang selama ini menjadi asas kepada dominasi geopolitik dunia dilihat semakin retak apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Eropah mula mengutamakan agenda strategik yang berbeza di tengah-tengah persaingan dengan China dan Rusia.
Pemerhati ekonomi antarabangsa, Prof Jomo Kwame Sundaram dan Nurina Malek berpandangan, Presiden AS Donald Trump terus mendesak negara-negara Barat bersatu mengikut acuan Washington bagi menghadapi apa yang disifatkannya sebagai ancaman daripada China dan Iran.
Bagaimanapun, negara-negara Eropah pula lebih menumpukan usaha mendapatkan sokongan AS untuk memperkukuh Ukraine dalam konflik berterusan dengan Rusia.
Pada Jun lalu, beberapa pegawai Kesatuan Eropah (EU) mendakwa China melatih anggota tentera Rusia untuk berperang di Ukraine.
Namun dakwaan itu tidak pernah disahkan oleh kerajaan Ukraine sendiri.
Menurut Jomo dan Nurina, tuduhan tersebut berpotensi memburukkan lagi hubungan antara Brussels dan Beijing, selain mengukuhkan naratif bahawa China kini menjadi ancaman strategik kepada Eropah.
Hakikatnya, China tidak pernah menyokong pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Kyiv, selain berulang kali menggesa gencatan senjata serta menawarkan diri sebagai pengantara damai.
Penulis turut berhujah bahawa era perdagangan bebas yang pernah dipelopori Barat kini semakin berakhir.
Selepas krisis kewangan global 2008, Eropah dilihat semakin cenderung kepada dasar perlindungan industri tempatan.
Ironinya, keadaan itu berlaku selepas beberapa dekad negara-negara Barat sendiri menggalakkan liberalisasi perdagangan yang membuka ruang kepada kebangkitan sektor pembuatan China.
Kini, apabila produk China menguasai pasaran global dengan harga lebih rendah dan daya saing lebih tinggi, Eropah pula mengambil langkah melindungi industrinya melalui pelbagai sekatan perdagangan.
Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha “meratakan padang permainan”, walaupun bertentangan dengan prinsip perdagangan bebas yang pernah diperjuangkan Barat.
Menurut mereka lagi, peranan Kumpulan Tujuh (G7) kini semakin diperluaskan sehingga menenggelamkan pengaruh G20 yang lebih inklusif.
Perubahan itu dilihat mencerminkan kecenderungan negara-negara maju menggunakan platform yang lebih kecil bagi menyelaraskan pendirian terhadap Rusia, China dan Iran.
Dunia menuju persaingan blok baharu
Dalam masa sama, Eropah turut berdepan dilema apabila industri utamanya semakin sukar menandingi keupayaan pengeluaran China.
Jerman, misalnya, mula mengutamakan peningkatan perbelanjaan ketenteraan selaras dengan tuntutan Trump supaya anggota NATO memperkukuh kekuatan ketenteraan.
Di Perancis pula, idea “autonomi strategik” yang pernah diketengahkan Presiden Emmanuel Macron dilihat semakin terhakis apabila Paris kembali memberi keutamaan kepada kerjasama rapat dalam NATO.
Namun beberapa negara anggota EU yang lebih kecil kekal berhati-hati kerana bimbang tindakan keras terhadap China akan memberi kesan kepada ekonomi domestik mereka.
Jomo dan Nurina berpandangan dunia kini sedang bergerak ke arah persaingan antara “Barat” dan “bukan Barat”, apabila negara-negara yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar menjadi rebutan kedua-dua blok.
Dalam keadaan itu, peraturan ekonomi antarabangsa semakin digunakan sebagai instrumen geopolitik bagi memberi tekanan kepada sekutu dan musuh.
Mereka turut memberi amaran bahawa konflik semasa, termasuk perang melibatkan Israel dan Iran, menunjukkan landskap keselamatan global semakin sukar diramal.
Menurut mereka, dunia berdepan risiko gangguan ekonomi yang lebih besar apabila ketegangan geopolitik, sekatan perdagangan dan perlumbaan kuasa besar terus meningkat tanpa mekanisme kerjasama antarabangsa yang kukuh.
BACA JUGA Menantu Hadi berkias tentang tiga lembu, singa ketika hubungan Pas-Bersatu terus retak