Ekonomi Malaysia melonjak 5.8 peratus, atasi unjuran pakar ketika dunia terus bergolak

Ekonomi Malaysia terus memperlihatkan momentum kukuh apabila anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 5.8 peratus bagi suku kedua 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi itu lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, selain mengatasi unjuran median ahli ekonomi sebanyak 5.2 peratus.

“Alhamdulillah, anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan, pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua turut mengatasi prestasi awal Singapura yang mencatat 5.7 peratus dan China sebanyak 4.3 peratus.

Prestasi itu dipacu lonjakan dalam beberapa sektor utama, termasuk perlombongan yang berkembang 10.2 peratus, pembuatan 7.5 peratus dan pembinaan 6.6 peratus.

Anwar berkata, pencapaian berkenaan membuktikan daya tahan ekonomi negara kekal kukuh meskipun dunia berdepan konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan perdagangan global.

Menurut beliau, reformasi dan dasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI sejak lebih tiga tahun lalu telah memperkukuh asas ekonomi serta meningkatkan keupayaan Malaysia mendepani tekanan luaran dengan lebih yakin.

“Pencapaian ini menguatkan tekad kita untuk terus istiqamah pada landasan reformasi, memperkukuh daya tahan ekonomi serta mengimbangi tuntutan pertumbuhan, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab fiskal,” katanya.

Beliau menegaskan, pertumbuhan angka semata-mata belum mencukupi sekiranya manfaatnya tidak dirasai secara langsung oleh rakyat.

Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mempergiat usaha memastikan kekuatan ekonomi diterjemahkan kepada penciptaan lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta taraf hidup yang lebih sejahtera.

“Kerajaan MADANI akan terus bekerja lebih kuat bagi memastikan kekuatan ekonomi ini diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah buat seluruh rakyat, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Hala tuju BN dipersoal, Mat Sabu bimbang masa depan Kerajaan Perpaduan