Hari Sukan Negara 2026 sasar penyertaan lebih 5.3 juta rakyat Malaysia

FOTO BERITA: Majlis Praperasmian Hari Sukan Negara (HSN) Tahun 2026 bersama YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan di Dewan Serbaguna, Podium B, Menara KBS, Putrajaya. 16hb Julai 2026 (Khamis)

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, hari ini menyempurnakan Majlis Praperasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2026 yang berlangsung sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi bulan Julai 2026. Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Puan Azura Abidin.

Dalam ucapannya, Dr. Mohammed Taufiq berkata Hari Sukan Negara terus menjadi platform penting dalam menyemai kesedaran mengenai kepentingan amalan bersukan bagi melahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan berbudaya sukan. Beliau berkata pelaksanaan HSN turut memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat, merangsang pembangunan industri sukan serta memberi pengiktirafan kepada individu dan komuniti yang menyumbang kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Beliau menjelaskan antara objektif utama HSN ialah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai sukan, memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, mengiktiraf penggiat sukan akar umbi serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan industri sukan.

Bagi edisi 2026, sambutan Hari Sukan Negara akan berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober 2026 secara serentak di seluruh negara, manakala di Sarawak sambutan akan diadakan pada 16 hingga 18 Oktober 2026. Majlis Perasmian Peringkat Kebangsaan pula dijadual disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, di pekarangan TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Oktober 2026.

Mengangkat tema “Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI)”, HSN 2026 menyasarkan penyertaan lebih 5.3 juta rakyat Malaysia menerusi pelbagai program sukan dan rekreasi di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya nilai Kesejahteraan, Keyakinan dan Kemampanan, serta Visi Sukan Negara 2030 yang menjadikan sukan sebagai budaya hidup rakyat Malaysia.

Antara pengisian utama HSN Peringkat Kebangsaan tahun ini ialah Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI, selain pelbagai aktiviti di bawah segmen Malaysia Aktif dan Industri Sukan yang mengintegrasikan elemen Gaya Hidup Rakan Muda seperti Rakan Aktif, Rakan Digital, Rakan Litar dan Rakan Niaga.

Bermula Julai ini, KBS melalui JBSN turut melaksanakan pelbagai program bersama agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan momentum menjelang kemuncak sambutan HSN 2026 pada Oktober nanti.

KBS menyeru seluruh rakyat Malaysia serta semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama menjayakan Hari Sukan Negara 2026 demi merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Bersukan” menjelang tahun 2030.