Muhyiddin dakwa Annuar putar fakta, Bersatu bukan mufarakah daripada PN

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan bahawa partinya secara sukarela berpisah daripada Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mendakwa Bersatu telah diketepikan daripada proses membuat keputusan termasuk rundingan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata beliau kesal dengan kenyataan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Bersatu bertindak mendahului keputusan gabungan itu serta menghalang usaha penyatuan Melayu.

Sebaliknya, beliau menegaskan Bersatu kekal sebagai parti pengasas dan anggota sah PN, namun hak parti itu dalam gabungan berkenaan didakwa telah dinafikan.

“Dakwaan bahawa Bersatu mufarakah (berpisah) secara sukarela daripada Perikatan Nasional adalah tidak benar,” katanya.

Muhyiddin mendakwa rundingan pembahagian kerusi bersama Bersatu dihentikan tanpa alasan munasabah, selain parti itu tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi bagi PRN Negeri Sembilan.

“Soalnya, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat sedangkan mesyuarat itu sendiri kami tidak dijemput hadir?” katanya.

Beliau turut menyentuh isu rundingan antara PN dan Barisan Nasional (BN), dengan mendakwa rundingan tersebut dibuat tanpa mandat Majlis Tertinggi PN.

Menurutnya, beliau tidak mempertikaikan rundingan itu, namun perkara melibatkan dasar gabungan sepatutnya diputuskan terlebih dahulu di peringkat Majlis Tertinggi sebelum sebarang rundingan dijalankan.

“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi. Selepas keputusan dibuat, barulah ia dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,” katanya.

Muhyiddin berkata sepanjang lima tahun menerajui PN, beliau tidak pernah mengenepikan mana-mana parti komponen dalam proses membuat keputusan termasuk berkaitan dasar dan pembahagian kerusi pilihan raya.

Katanya, setiap keputusan sebelum ini dibuat menerusi mesyuarat yang melibatkan semua parti anggota.

Bukan penyatuan Melayu sebenar

Muhyiddin turut menolak dakwaan bahawa Bersatu menjadi penghalang kepada agenda penyatuan Melayu.

Beliau berkata perjuangan untuk menyatukan orang Melayu menjadi asas penubuhan Bersatu dan tidak pernah berubah.

Menurutnya, ketika penubuhan PN, beliau pernah mengusulkan supaya gabungan itu menjadi platform induk yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk Umno, di samping parti pelbagai kaum.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Umno ketika itu menolak untuk menyertai PN sebagai parti komponen, malah beberapa Ahli Parlimen Umno kemudian berkomplot menjatuhkan kerajaan PN.

Muhyiddin turut mendakwa perkembangan semasa menunjukkan Pas kini memilih untuk menjalin kerjasama dengan Umno, menyebabkan Bersatu semakin tersisih dalam gabungan tersebut.

“Oleh kerana Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Pas mahu mewujudkan gabungan dengan Umno, Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh Perikatan Nasional.

“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya.

Walaupun mengucapkan selamat maju jaya kepada PN, Muhyiddin menegaskan Bersatu tidak akan berpatah balik.

“Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Setakat ini, Pas dan kepimpinan Perikatan Nasional belum mengeluarkan maklum balas terhadap kenyataan terbaharu Muhyiddin.

BACA JUGA Marzuki dedah ‘permainan’ Pas, dakwa penyatuan Melayu gagal kerana tipu muslihat