Pas hanya jadi tukang angkut undi BN, bakal ‘kosong’ lagi PRN Negeri Sembilan

Pas diramal sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya penyokong parti itu terus mengalihkan undi kepada Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad, berkata corak pengundian dalam PRN Johor baru-baru ini menunjukkan undi penyokong Pas berpindah kepada BN.

Namun, kata bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu, perkara sama tidak berlaku dalam kalangan penyokong Umno apabila calon Pas bertanding.

Khalid yang juga Bendahari Pakatan Harapan (PH) berkata, situasi tersebut menyebabkan BN memperoleh kemenangan besar, manakala Pas gagal memenangi walaupun satu kerusi.

“Saya boleh jamin keputusan PRN Johor akan berulang di Negeri Sembilan, iaitu Pas akan dapat kosong.

“Kalau pendekatan ini berterusan, Umno yang akan untung kerana orang Pas akan undi Umno, tetapi orang Umno tidak akan undi Pas,” katanya menerusi program Bicara Haji Khalid Samad Siri 296 di JOMchannel, malam tadi.

Kekalahan mutlak

Menurut Khalid, pengalaman PH ketika bekerjasama dengan Umno dan BN dalam Kerajaan Perpaduan turut memperlihatkan masalah perpindahan undi yang tidak berlaku secara seimbang.

Katanya, penyokong PH bersedia memberikan undi kepada calon BN, tetapi sebahagian penyokong tradisi Umno pula tidak melakukan perkara sama apabila calon PH bertanding.

“Yang berlaku ialah orang PH undi BN, tetapi orang BN tidak undi PH walaupun kita berada dalam satu gabungan,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Khalid berkata, kemenangan mutlak BN dalam PRN Johor lalu antara lain didorong oleh perpindahan undi penyokong Pas kepada BN, selain sebahagian ahli Bersatu yang dipercayai kembali menyokong Umno.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai permainan politik yang akhirnya hanya menguntungkan Umno, sedangkan Pas pula menjadi pihak yang menanggung kerugian sehingga mengalami kekalahan mutlak.

“Umno yang memainkan ‘game’, Pas yang kena ‘game’.

“Mungkin ini juga strategi Umno untuk melenyapkan Pas dalam pentadbiran kerajaan. Mungkin. Sebab kita hairan mengapa Pas langsung tidak boleh menang.

“Kalau ada persefahaman, sekurang-kurangnya dapatlah satu kerusi DUN. Ini langsung tidak dapat apa-apa,” tempelak beliau.

Terlalu seronok

Mengulas mengenai PRN Negeri Sembilan, Khalid menjangkakan kepimpinan Pas akan sekali lagi mengarahkan penyokongnya membantu BN kerana terlalu seronok dengan kemenangan gabungan itu di Johor.

Bagaimanapun, katanya, strategi tersebut hanya akan membolehkan BN memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergantung kepada Pas.

“Pas dapat sedikit atau tidak dapat membentuk kerajaan, tetapi BN mendapat jumlah lebih banyak dan cukup untuk membentuk kerajaan tanpa sesiapa.

“Inilah ‘game’ yang akan berlaku, orang Pas akan undi BN tetapi orang BN tidak akan undi Pas. Saya meramalkan akhirnya Pas sekali lagi akan dapat kosong,” ujarnya.

Mantan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat serta bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor itu turut mempersoalkan jati diri Pas kini yang didakwanya sanggup mengorbankan peluang sendiri semata-mata kerana mahu memastikan PH kalah.

“Pas sekarang ini tidak ada jati diri.

“Bagi Pas, apa yang penting ialah kalahkan PH. Dia (Pas) sanggup korbankan diri dan tidak bertanding pun di banyak kerusi,” kata Khalid lagi.

Sebelum ini, BN mengumumkan senarai hanya 25 calon bertanding daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan bagi PRN kali ini.

Teka-teki mengenai baki 11 kerusi lagi terjawab malam tadi apabila sah diisi Perikatan Nasional (PN).

Namun, daripada 11 kerusi DUN ditandingi itu, Pas hanya meletakkan lima calon.

Parti Wawasan Negara (Wawasan) pula bertanding di empat kerusi manakala Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masing-masing satu calon.

BACA JUGA Terjawab sudah kenapa BN bertanding hanya 25 kerusi, baki 11 calon sah diisi PN