Pesanan Erdogan tidak diendah, kesepakatan dipersia berpaling ke PN di Negeri Sembilan
Pesanan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan supaya pemimpin politik di negara ini tidak berpecah dilihat tidak diendah apabila berlakunya pergolakan politik yang menggugat kestabilan kerajaan Negeri Sembilan.
Pemerhati politik, Jason Yew berkata, pesanan ikhlas Erdogan, “You do not separate from one another, okay?” atau “Kamu jangan berpisah antara satu sama lain, ya?” masih segar dalam ingatannya.
Beliau turut berkongsikan gambar memaparkan Erdoğan berbual mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga dikenal sebagai Tok Mat.
Pertemuan itu berlaku di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semasa Forum Perniagaan Malaysia-Türkiye pada Februari tahun lalu.
Erdogan semasa memberi nasihat supaya penyatuan Kerajaan Perpaduan dikekalkan serentak merapatkan dua jari telunjuknya simbol agar bersatu-padu sejurus bersalam dengan Tok Mat.
Mengulas lanjut, Jason berkata, pesanan Erdoğan sebelum ini disambut dengan jabat tangan erat dan senyuman sebagai tanda persetujuan serta komitmen untuk terus mempertahankan kesepakatan yang telah dibina.
Namun, beliau berpendapat percaturan politik yang berlaku di Negeri Sembilan pada masa ini memberikan gambaran berbeza mengenai erti kesetiaan dalam sesebuah kerjasama politik.
“Ketika kita sedang melangkah perlahan-lahan menyatukan hati demi membina semula negara, kestabilan kerajaan negeri terpaksa tergugat kerana ada rakan yang memilih untuk menarik sokongan demi membentuk jajaran baharu bersama Perikatan Nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jason berkata, tindakan berkenaan amat mengecewakan kerana kesepakatan yang dibina sebelum ini sepatutnya dipertahankan demi kestabilan pentadbiran serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kekecewaan itu tidak harus diterjemahkan melalui serangan peribadi, politik kebencian atau usaha menanam permusuhan antara pihak yang berbeza pandangan.
“Kita sama sekali tidak marah, jauh sekali mahu menyerang peribadi atau menanam sengketa.
“Cuma sebagai manusia biasa, hati ini sedikit terkilan melihat kesepakatan dipersiakan begitu sahaja,” kata Jason lagi.
BACA JUGA ‘Nak lanyak saya di Linggi?’, Tok Min jawab serangan dengan rekod kerja bukan politik kebencian