RM60 bilion untuk PMKS: Steven Sim mahu usahawan ‘menang sebagai rakyat Malaysia’
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM60 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara tahun ini, dengan matlamat memperkukuh daya tahan usahawan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, bantuan itu akan disalurkan tanpa mengira kaum, selaras dengan usaha kerajaan membangunkan usahawan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Katanya, landskap ekonomi dunia yang dipengaruhi perang perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik memerlukan sokongan berterusan kepada PMKS agar kekal berdaya tahan.
“Misi saya bukan sekadar membantu usahawan Melayu, Cina atau India, tetapi menjadikan perniagaan rakyat Malaysia lebih hebat. Jika mahu menang dalam persaingan global, kita perlu menang sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS di Alor Setar.
Steven berkata, kerajaan turut memperkukuh pelbagai skim pembiayaan termasuk menerusi TEKUN Nasional serta Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026 (MUDRA) bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat akses kepada modal perniagaan.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan had maksimum pembiayaan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (Berkat) dinaikkan lebih tiga kali ganda daripada RM30,000 kepada RM100,000.
Beliau berkata, peningkatan had pembiayaan itu dijangka membantu perusahaan mikro milikan masyarakat Cina mengembangkan operasi dan meningkatkan daya saing.
Sementara itu, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Teng Chang Khim berkata, PMKS terus menjadi tunjang ekonomi negara apabila hampir 97 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada sektor berkenaan.
Menurutnya, Kedah mempunyai kira-kira 49,663 PMKS, bersamaan 4.6 peratus daripada keseluruhan PMKS negara, dengan kekuatan dalam sektor agromakanan, pemprosesan makanan, teknologi pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
Katanya, potensi itu membuka ruang kepada usahawan meningkatkan nilai tambah produk, memperkukuh daya saing serta menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari Januari 2021 hingga Disember 2025, SME Corp. Malaysia telah membantu 8,904 PMKS di Kedah menerusi pelbagai program pembangunan perniagaan.
“Sebanyak RM23.1 juta telah disalurkan kepada PMKS di Kedah dalam tempoh tersebut, mewakili 4.3 peratus daripada keseluruhan penyaluran program SME Corp. Malaysia,” katanya.
BACA JUGA Tok Min imbas suka duka di Sikamat, tekad bekerja keras untuk rakyat di DUN Linggi