Empat bulan ‘hilang’ di Thailand, Tamim Dahri akhirnya muncul serah diri
Selepas lebih empat bulan diburu dan dipercayai melarikan diri ke luar negara, aktivis Tamim Dahri Abdul Razak akhirnya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki berusia 33 tahun itu berbuat demikian kira-kira jam 12.45 tengah hari, sekali gus menamatkan usaha mengesannya sejak Mac lalu.
Menurutnya, kes berkenaan bermula selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berketurunan India pada jam 6.25 petang, 10 Mac lalu.
Pengadu mendakwa dirinya diugut menerusi Facebook oleh suspek, menyebabkan polis membuka siasatan dan melancarkan usaha memburu lelaki berkenaan.
“Berikutan laporan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Usaha mengesan suspek dijalankan di sekitar Kajang, Selangor, namun siasatan mendapati lelaki berkenaan dipercayai melarikan diri ke Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac lalu,” katanya, dipetik media.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, suspek berada di Thailand lebih empat bulan sebelum kembali ke negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.
Jelasnya, sebaik tiba di Malaysia, suspek menyerah diri di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” kata Alzafny lagi.
Untuk rekod, Tamim sebelum ini dikenali menerusi kempen membantah pembinaan rumah ibadat yang didakwa tidak sah serta beberapa kontroversi berkaitan perobohan struktur kuil.
Dia pernah mengemukakan permohonan menyertai PKR, namun tidak pernah disahkan sebagai ahli sebelum mendakwa tindakan itu sekadar gurauan.
BACA JUGA Penyokong PN tergamak gelak ketawa bangsa sendiri dipanggil anjing