Jangan biar usaha sejak 2018 terhenti, PM rayu rakyat beri mandat lebih kukuh kepada HARAPAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Negeri Sembilan supaya memberikan mandat lebih kukuh kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri yang bersih, stabil dan berintegriti.

Perdana Menteri berkata, mandat itu penting bagi membolehkan pentadbiran di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan pelbagai usaha pembangunan dan kebajikan yang telah digerakkan sejak 2018.

“Dengan penuh rendah diri, saya memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada HARAPAN.

“Ini demi kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun,” katanya menerusi kenyataan di media sosial beliau malam ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan sejak HARAPAN mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masih banyak usaha perlu diteruskan bagi memastikan hasil pembangunan dan kemajuan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat.

“Sejak 2018, pelbagai ikhtiar telah digerakkan. Namun, masih banyak yang perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Mendoakan

Dalam masa sama, Anwar mendoakan semua calon HARAPAN yang bertanding diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

“Semoga semua calon HARAPAN dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan dan diberikan kejayaan yang terbaik.

“Kepada Allah SWT kita berserah,” kata Perdana Menteri.

Beliau turut memetik ayat kedua Surah al-Ma’idah yang menyeru umat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, bukannya dalam dosa serta permusuhan.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini, PH dan BN masing-masing bergerak secara berasingan walaupun kedua-dua blok itu merupakan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

PH meletakkan calon di semua 36 kerusi DUN. Sebaliknya, BN terbukti bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) apabila hanya bertanding 25 kerusi manakala baki iaitu 11 kerusi lagi ditandingi PN.

Sebanyak 11 kawasan menyaksikan pertandingan satu lawan satu, tiga penjuru (21 kerusi), manakala baki empat kerusi lagi masing-masing dua menyaksikan persaingan empat dan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan manakala hari pengundian 1 Ogos.

Sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.

BACA JUGA Umno dan Pas belum cukup angka, ini realiti sebenar siapa sebenarnya penentu Putrajaya