Kesepakatan dan rekod pentadbiran jadi kekuatan PH – Adly Zahari

FOTO BERITA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), YB Adly Zahari, yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan berdasarkan rekod perkhidmatan dan kesepakatan gabungan itu sepanjang lebih lapan tahun mentadbir negeri.

Menurut beliau, proses penamaan calon berjalan lancar dan calon-calon Pakatan Harapan telah melengkapkan urusan pencalonan masing-masing mengikut ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Alhamdulillah, proses penamaan calon berjalan dengan baik. Kini tumpuan kita ialah memastikan seluruh jentera turun padang untuk terus menyantuni rakyat dan menyampaikan agenda serta rekod pencapaian Pakatan Harapan,” katanya.

Mengulas cabaran politik semasa, Adly berkata PH menghormati sebarang bentuk kerjasama antara parti lawan, namun menegaskan kekuatan utama gabungan itu terletak pada kesepakatan dan rekod pentadbiran yang telah dibuktikan.

“Kita tahu persaingan akan sentiasa ada, namun kekuatan Pakatan Harapan ialah kesepakatan dalam gabungan serta khidmat yang telah kita berikan kepada rakyat Negeri Sembilan selama lebih lapan tahun. Bagi kita, pertandingan ini adalah mengenai siapa yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan komited dalam mentadbir negeri.

“Jika dibandingkan dengan kepimpinan sebelum ini, Tok Min telah menunjukkan prestasi yang baik, mempunyai kredibiliti, rasa tanggungjawab serta komitmen tinggi dalam membela kepentingan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya yakin beliau akan terus mendapat sokongan rakyat dan diberi mandat untuk meneruskan kepimpinan Negeri Sembilan,” katanya. Adly turut menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan supaya memperkukuhkan gerak kerja kempen sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan mesej dan pencapaian kerajaan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada pengundi.
