‘Lawan sampai menang, tolak pengkhianat, Allahuakbar’ bergema di Negeri Sembilan
Sorakan ‘lawan sampai menang’, ‘tolak pengkhianat‘ dan takbir Allahuakbar bergema mengiringi empat calon Pakatan Harapan (PH) menuju ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Rembau pagi ini.
Rombongan penyokong juga melaungkan ‘Hidup PH’, ‘Kekal HARAPAN’, ‘Maju Demi Rakyat’, ‘Tolak rasuah’ dan ‘Reformasi’ sempena pembukaan rasmi tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Mereka mengiringi calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Paroi, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah (AMANAH); N.26 Chembong, Danish Nazran Murad (PKR), N.27 Rantau, Dr. Azizul Karie Hakim Mahdi (PKR) dan N.28 Kota, Ustaz Muhammad Allif Ibrahim (AMANAH).


Pemimpin PH di peringkat nasional juga hadir memberi sokongan, antaranya, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil dan Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Turut hadir Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Semua calon PH bagi empat DUN terbabit tiba di Pusat Penamaan Calon pada jam 8.15 pagi.
Proses penamaan calon bermula pada jam 9 pagi dan calon diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya kemudiannya akan membuat semakan terhadap semua dokumen yang diterima.
Senarai rasmi calon yang layak bertanding bagi keempat-empat kerusi DUN itu akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejurus tamat proses semakan jika tiada bantahan atau masalah berkaitan pencalonan.
BACA JUGA Umno dan Pas belum cukup angka pun, ini realiti sebenar siapa sebenarnya penentu Putrajaya