Dilema politik Melayu: Antara penyusunan semula kuasa, politik koalisi & perebutan kepercayaan pengundi
OLEH DR AZRIE AZEH
Politik Melayu sedang berada pada satu persimpangan penting. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), landskap politik Malaysia tidak lagi bergerak dalam kerangka lama yang menyaksikan dominasi satu gabungan politik sebagai tonggak utama pemerintahan negara.
Sebaliknya, realiti baharu memperlihatkan politik Malaysia semakin dicorakkan oleh persaingan pelbagai blok.
Akhirnya menyebabkan terjadinya keperluan pembentukan gabungan dan membina keupayaan parti mendapatkan legitimasi melalui prestasi pentadbiran.
Dalam konteks politik Melayu, perubahan ini melahirkan satu dilema yang lebih besar.
Persoalannya bukan lagi sekadar parti mana yang mendakwa mewakili orang Melayu, tetapi apakah bentuk politik yang mampu memenuhi tuntutan pengundi Melayu dalam era baharu, adakah politik penyatuan kuasa, politik identiti atau politik berasaskan prestasi.
PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan 2026 menjadi medan penting untuk memahami perubahan ini.
Kedua-duanya bukan sekadar pilihan raya negeri, tetapi menjadi cerminan kepada proses penyusunan semula kuasa politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Dalam perspektif sains politik, perkembangan ini boleh dilihat sebagai satu titik persimpangan (critical juncture) yang berpotensi mengubah arah politik untuk tempoh yang panjang.
PRN Johor 2026: Menguji Kekuatan Lama Dalam Landskap Politik Baharu
Johor mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah politik Malaysia.
Negeri ini bukan sahaja mempunyai hubungan sejarah yang rapat dengan perkembangan politik Melayu arus perdana, malah sering dianggap sebagai salah satu negeri penentu dalam memahami perubahan sokongan pengundi Melayu.
Namun politik hari ini tidak lagi sama seperti masa lalu.
Kekuatan sejarah, pengalaman pentadbiran dan jaringan organisasi parti masih menjadi aset penting, tetapi ia perlu berhadapan dengan perubahan masyarakat yang semakin kompleks.
Pengundi hari ini, khususnya generasi muda, semakin bijak menilai politik melalui isu yang lebih praktikal seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan dan kualiti perkhidmatan awam.
PRN Johor 2026 menjadi ujian terhadap persoalan utama:
Adakah kekuatan politik tradisional masih mampu bertahan dalam suasana pengundi yang semakin kritikal?
Bagi Barisan Nasional (BN), Johor merupakan medan untuk menilai sejauh mana kekuatan organisasi dan akar umbi masih menjadi kelebihan politik.
Bagi Perikatan Nasional (PN), ia pula menjadi ruang untuk memperluaskan pengaruh dan membuktikan bahawa sokongan politik Melayu tidak lagi tertumpu kepada satu blok sahaja.
Namun, keputusan pilihan raya tidak boleh ditafsirkan semata-mata melalui kemenangan kerusi. Analisis yang lebih mendalam perlu melihat faktor yang membentuk keputusan pengundi.
Adakah disebabkan oleh isu tempatan, prestasi kerajaan, calon, strategi kempen atau perubahan sentimen masyarakat.
Inilah cabaran utama politik Melayu hari ini. Sokongan rakyat semakin sukar dikekalkan hanya melalui faktor sejarah atau identiti.
PRN Negeri Sembilan 2026: Ujian Terhadap Penyusunan Semula Politik Melayu
Sekiranya Johor menjadi medan menguji kekuatan tradisional, Negeri Sembilan pula memperlihatkan dimensi baharu melalui perkembangan kerjasama BN–PN.
PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 1 Ogos 2026 menjadi ujian terhadap sejauh mana parti-parti Melayu mampu melakukan penyusunan semula strategi politik berdasarkan kepentingan elektoral.
Dalam ilmu politik, fenomena ini dikenali sebagai political realignment yang menjelaskan tentang perubahan pola hubungan antara parti, pengundi dan gabungan politik apabila berlaku perubahan dalam struktur persaingan.
BN mempunyai kekuatan daripada segi pengalaman pentadbiran, organisasi dan jaringan politik yang telah lama dibina. PN pula mempunyai pengaruh yang semakin berkembang dalam segmen tertentu pengundi Melayu melalui naratif perubahan dan identiti politik.
Namun, kerjasama politik bukan hanya soal mencantumkan jumlah sokongan. Sebaliknya, Cabaran sebenar ialah bagaimanakah cara untuk membina keserasian di peringkat akar umbi, menyatukan penyokong yang mempunyai sejarah persaingan dan meyakinkan rakyat bahawa kerjasama tersebut bukan sekadar strategi mendapatkan kuasa.
Dalam demokrasi moden, rakyat akhirnya menilai kerajaan berdasarkan kemampuan menyelesaikan masalah, bukan hanya kemampuan memenangi pilihan raya.
BN–PH dan Masa Depan Kerajaan Persekutuan: Dilema Antara Kestabilan dan Identiti Politik
Perubahan strategi politik bagi parti Melayu di peringkat negeri turut memberi kesan kepada hubungan politik di peringkat Persekutuan.
Sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, BN dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi tanggungjawab mentadbir negara walaupun mempunyai sejarah persaingan yang panjang.
Kerjasama tersebut lahir daripada realiti politik apabila tiada satu gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Namun, perkembangan politik negeri menunjukkan bahawa hubungan politik Malaysia semakin bersifat fleksibel. Kerjasama di peringkat pusat tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk yang sama di setiap negeri.
Ini jelas terbukti apa yang berlaku semasa PRN Johor dan Negeri Sembilan. Di sinilah dilema BN menjadi lebih kompleks.
Oleh itu, BN perlu mengekalkan peranan dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa sama perlu membina semula identiti politiknya dalam persaingan baharu.
Manakala, PH pula berhadapan cabaran untuk mengekalkan keyakinan penyokongnya sambil mengurus realiti bahawa politik demokrasi memerlukan kompromi.
Persoalan utama ialah sama ada model politik koalisi ini mampu bertahan apabila berhadapan tekanan pilihan raya negeri dan perubahan sokongan rakyat.
SG4 dan Dilema Politik Melayu: Antara Identiti dan Prestasi
Perkembangan politik Johor dan Negeri Sembilan turut memberi kesan kepada empat negeri yang sering dirujuk sebagai SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Negeri-negeri ini merupakan asas penting kepada kekuatan politik PN dan simbol kepada satu bentuk politik Melayu yang menekankan identiti, agama serta autonomi negeri.
Namun SG4 juga berhadapan dilema yang sama seperti mana-mana kerajaan negeri lain iaitu;
A. Bagaimana menukar kekuatan politik kepada prestasi pentadbiran?
Politik identiti boleh menjadi faktor penting dalam membina sokongan, tetapi kelangsungan kuasa memerlukan pencapaian yang boleh diukur.
Rakyat akhirnya akan menilai persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan mereka. Persoalan yang sering berlegar dikepala rakyat antaranya.
1. Adakah ekonomi negeri berkembang?
2. Adakah peluang pekerjaan meningkat?
3. Adakah anak muda mempunyai masa depan tanpa perlu berhijrah?
4. Adakah pembangunan negeri bergerak secara seimbang?
Dalam konteks ini, konsep legitimasi berdasarkan prestasi (performance legitimacy) menjadi semakin penting. Sokongan rakyat bukan sahaja dibina melalui nilai dan identiti, tetapi melalui kemampuan kerajaan memberikan hasil yang nyata.
Undi Melayu: Daripada Kesetiaan Tradisi Kepada Penilaian Prestasi
Salah satu perubahan terbesar yang kini berlaku dalam politik Melayu ialah perubahan corak pemikiran pengundi.
Pengundi Melayu hari ini bukan lagi kelompok yang seragam.
Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan keutamaan yang berbeza.
Golongan muda, kelas pertengahan, masyarakat bandar, luar bandar, penjawat awam dan pekerja sektor swasta mempunyai pertimbangan politik yang semakin kompleks.
Identiti Melayu dan agama masih mempunyai pengaruh, tetapi isu ekonomi semakin menjadi pertimbangan utama.
Kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, pendidikan anak-anak dan kestabilan negara menjadi faktor penting dalam menentukan sokongan politik.
Ini bermakna mana-mana parti yang hanya bergantung kepada naratif lama tanpa menawarkan penyelesaian praktikal akan berdepan cabaran besar. Politik Melayu hari ini sedang bergerak daripada politik kesetiaan kepada politik penilaian.
Kesimpulan: Politik Melayu Dalam Era Baharu
Dilema baharu politik Melayu bukan lagi sekadar persoalan siapa musuh dan siapa rakan.
Dilema sebenar ialah bagaimana parti-parti politik Melayu menyesuaikan diri dengan era politik koalisi, perubahan pengundi dan tuntutan terhadap pentadbiran yang lebih berkesan.
PRN Johor dan Negeri Sembilan 2026 menjadi sebahagian daripada proses besar penyusunan semula politik Melayu.
SG4 pula menjadi medan untuk menguji sama ada kekuatan identiti mampu diterjemahkan kepada prestasi.
Akhirnya, masa depan politik Melayu tidak akan ditentukan oleh siapa yang paling kuat membawa naratif Melayu, tetapi oleh siapa yang paling berjaya meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menyediakan masa depan yang lebih stabil, adil dan sejahtera.
Dalam demokrasi yang matang, kemenangan pilihan raya hanyalah permulaan. Cabaran sebenar ialah memperoleh dan mengekalkan kepercayaan rakyat.