Dzulkefly seru rakyat kekalkan kerajaan stabil, pilih pemimpin terbukti berkhidmat

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya memilih pemimpin yang amanah, jujur dan terbukti berkhidmat kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.

Beliau berkata, pentas pilihan raya bukan medan untuk mana-mana pihak saling memaki hamun atau menimbulkan sengketa.

Sebaliknya, ia adalah ruang demokrasi yang matang untuk bersaing secara sihat menerusi tawaran dasar, penyelesaian serta hala tuju yang jelas kepada rakyat.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh warga Negeri Sembilan agar menilai setiap calon dengan bijaksana. Pilihlah pemimpin yang terbukti teguh bekerja dan jujur memikul amanah, bukannya mereka yang sekadar pandai menabur janji namun tiada hasil kerja yang nyata,” katanya dalam perkongsian video di Facebook.

Dzulkefly berkata, sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, kerajaan negeri berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Negeri Sembilan untuk terus memberikan mandat kepada PH bagi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan dan kemajuan negeri itu dapat diteruskan.

“Sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran di bawah pimpinan Tok Min, Kerajaan Negeri Sembilan telah melakar pencapaian yang amat memberangsangkan sama ada dari sudut kemakmuran ekonomi dan fiskal, keadilan sosial, mahupun pemodenan infrastruktur.

“Demi masa depan yang lebih terjamin, ayuh kita terus berikan mandat dan kepercayaan penuh kepada Pakatan Harapan. Kesinambungan pembangunan, kestabilan, dan kemajuan di Negeri Sembilan wajib diteruskan!,” ujarnya.

BACA JUGA Luahan peniaga kecil, syukur tak ada lagi ‘ali baba’ zaman PMX