PH yakin kekal Negeri Sembilan stabil, seru kempen matang dan hormati Institusi Raja

FOTO BERITA: Sidang Media Sekretariat Pakatan Harapan Negeri Sembilan bersama Datuk Muhammad Zaki Md Sabri dan YB Tuan Cha Kee Chin di Sri Jati 3, Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan. 19hb Julai 2026, (Ahad)

Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 sejurus selesai proses penamaan calon dengan membawa mesej utama untuk mengekalkan kestabilan politik negeri bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan rakyat.

Perkara itu disampaikan dalam Sidang Media Sekretariat Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang diadakan di Sri Jati 3, Klana Resort Seremban hari ini disampaikan oleh Gambar tadi tu Datuk Muhammad Zaki Md Sabri dan YB Tuan Cha Kee Chin

Menurut Muhammad Zaki kesemua calon telah bergerak ke kawasan masing-masing bagi bertemu pengundi dan menerima sambutan yang positif. Reaksi tersebut disifatkan sebagai petanda keyakinan rakyat terhadap prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang didokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mampan di peringkat Persekutuan.

Beliau memaklumkan kempen kali ini memberi tumpuan kepada pertemuan secara langsung dengan seramai mungkin pengundi di lokasi-lokasi tumpuan awam. Pendekatan itu bertujuan menunjukkan komitmen calon untuk menjadi jambatan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukan sekadar meraih undi.

Selain itu, jentera pilihan raya turut memperkemaskan aspek logistik, bahan kempen dan pematuhan terhadap semua peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pihak berkuasa tempatan melalui pasukan pemantau khas.

Dalam masa sama, beliau turut memberi penekanan kepada kempen media sosial sebagai medium penting bagi menyampaikan mesej kempen yang bersih, mesra rakyat dan berfokus kepada perkhidmatan yang berkesan. Taklimat khas berkaitan media baharu dan komunikasi juga telah diadakan untuk pegawai media yang membantu calon-calon HARAPAN.

Tambahnya lagi, kecemerlangan pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menjadi antara kekuatan utama kempen ketika ini, dengan rakyat dikatakan telah menikmati hasil pembangunan yang dirancang sejak gabungan itu mentadbir negeri pada 2018.

Pada masa sama, dia menyifatkan pihak lawan masih belum menampilkan calon Menteri Besar yang jelas, sedangkan mereka akan terus menawarkan kesinambungan pentadbiran yang diyakini rakyat.

Menyentuh isu semasa, beliau mengambil maklum mengenai laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban terhadap seorang lelaki yang dipercayai ahli sebuah parti politik kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menerusi satu komen di media sosial.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menjalankan kempen secara matang dan positif dengan mengelakkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), di samping menghormati Institusi Raja-Raja Melayu serta institusi adat.

“Pilihan raya adalah medan demokrasi yang perlu diputuskan oleh rakyat di peti undi, bukannya melalui sentimen kebencian atau penghinaan terhadap institusi negara,” tegasnya