Media antarabangsa lapor ketegasan Anwar tidak benarkan warga Israel masuk Malaysia

Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengizinkan mana-mana warga Israel berada di Malaysia dan mengarahkan pengusiran segera, mendapat perhatian meluas media antarabangsa.

Beberapa portal dan media berita luar negara dilihat menyiarkan kenyataan Anwar yang menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel serta tidak membenarkan rakyat negara itu berada di negara ini.

Ia mendapat perhatian media dan portal berita antarabangsa, termasuk agensi berita Anadolu Agency, The Cradle, Globe Eye News, BRICS News, GBC dan Russia X, dengan beberapa hantaran meraih ratusan ribu pembaca.

Media Israel, The Jurusalem Post turut melaporkan kenyataan Anwar itu, menyebut “Malaysia vows explusion of Israelis found in the country amid investigations into Tech community”.

The Cradle melaporkan bahawa Malaysia memberi amaran mana-mana warga Israel yang ditemui dalam negara akan segera dihantar pulang.

Globe Eye News pula mengetengahkan pendirian sama dengan memaklumkan bahawa warga Israel yang ditemukan di Malaysia akan diusir serta-merta.

BRICS News turut menyiarkan ketegasan Perdana Menteri itu dengan menyatakan Anwar mengarahkan pengusiran segera terhadap warga Israel yang dikesan berada di Malaysia.

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan berkenaan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya benar terdapat warga Israel berada di Malaysia.

Kenyataan Anwar itu dibuat susulan dakwaan bahawa terdapat warga Israel menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan untuk menyertai komuniti Network School di Forest City, Johor.

“Kita siasat, kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil.”Kalau ada rakyat Israel, kerana kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera. Tapi (sekarang) semua agensi menjalankan siasatan,” kata Anwar sebelum ini.

BACA JUGA AMH desak menteri, timbalan BN segera letak jawatan dari Kabinet susulan kerjasama PN