Empat tahun kekal sifar miskin tegar, ini formula pentadbiran Tok Min di Negeri Sembilan
Kejayaan Negeri Sembilan mengekalkan status sifar miskin tegar selama empat tahun berturut-turut menjadi antara rekod utama pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menjelang Pilihan Raya Negeri.
Berdasarkan Titah Diraja pada pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, negeri itu mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai status sifar miskin tegar secara konsisten bagi 2023, 2024, 2025 dan sehingga 2026.
Pencapaian itu bermula pada penghujung 2023 apabila seramai 3,530 Ketua Isi Rumah berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar.
Rekod tersebut diteruskan dengan 1,697 KIR pada 2024 dan 2,275 KIR pada 2025, manakala sehingga 30 Januari lalu, seramai 1,106 KIR lagi berjaya dikeluarkan daripada kelompok berkenaan.
Angka tersebut bukan sekadar jumlah penerima bantuan, sebaliknya merujuk kepada isi rumah yang berjaya melepasi kategori miskin tegar selepas menerima intervensi bersasar dan melalui proses pemantauan.
Pendekatan pentadbiran Aminuddin atau Tok Min memberi penekanan kepada tindakan segera setiap kali terdapat pertambahan atau pengemaskinian dalam pangkalan data eKasih.
Isi rumah yang dikenal pasti akan diselaraskan dengan bantuan dan intervensi bersesuaian menerusi kerjasama antara agensi negeri dan Persekutuan.
eKasih merupakan pangkalan data bersepadu isi rumah miskin yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Sistem itu digunakan untuk merancang, melaksanakan serta memantau program pembasmian kemiskinan, selain menjadi rujukan kementerian dan agensi dalam menentukan bentuk bantuan yang sesuai.
eKasih bukan sebuah skim bantuan, sebaliknya mengandungi data isi rumah miskin dan miskin tegar yang digunakan oleh agensi pelaksana bagi menyelaraskan intervensi.
Bagaimanapun, status sifar miskin tegar tidak bermakna cabaran kemiskinan telah berakhir sepenuhnya.
Kerajaan Negeri dalam pembentangan Belanjawan 2026 memaklumkan masih terdapat 2,969 KIR dalam kategori mudah miskin tegar yang berisiko kembali jatuh ke kelompok berkenaan sekiranya tidak diberikan intervensi berterusan.
Status sifar itu juga dinilai berdasarkan purata Pendapatan Garis Kemiskinan Negeri Sembilan 2022 sebanyak RM2,402 sebulan.
Justeru, formula pentadbiran Tok Min bukan sekadar menyalurkan bantuan sekali sahaja, tetapi menggabungkan penggunaan data eKasih, pemantauan rapi, intervensi bersasar dan penyelarasan pelbagai agensi.
Dalam kempen PRN, rekod tersebut menjadi antara pencapaian yang diketengahkan Pakatan Harapan bagi menunjukkan keberkesanan pendekatan pentadbiran berasaskan data dan tindakan pantas dalam menjaga kebajikan rakyat.
BACA JUGA Bendera dibakar : PH seru hentikan politik khianat dalam PRN Negeri Sembilan