Seminggu dah tukar cerita? Akmal dipersoal ubah alasan isu letak jawatan
Tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Salleh, meletakkan syarat baharu untuk mengemukakan semula surat peletakan jawatan sebagai Exco Melaka mengundang kritikan apabila dianggap bercanggah dengan penjelasan yang diberikannya sebelum ini.
Perubahan pendirian itu dipersoalkan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad yang menyifatkan kenyataan terbaharu Akmal sebagai retorik politik semata-mata.
Menurutnya, sebelum ini Akmal menjelaskan peletakan jawatannya tidak dapat diteruskan kerana tidak diperkenankan Yang Dipertua Negeri (TYT) Melaka, namun kini beliau pula menyatakan kesediaan mengemukakan semula surat berkenaan jika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, turut melepaskan jawatannya.
“Hari tu kata sebab TYT tak bagi, lepas ini TYT bagi ke Dr Akmal Salleh?” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin turut menyindir Akmal dengan menyifatkannya sebagai “produk Pemuda Umno paling lekeh pernah dilahirkan”.
Beliau berkata, kenyataan terbaharu itu menimbulkan persoalan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.
Katanya, perubahan alasan dalam tempoh singkat itu sukar difahami memandangkan isu yang sebelum ini dikaitkan dengan perkenan TYT kini tidak lagi dijadikan asas.
“PRN Melaka juga bila-bila masa sahaja lagi. Perlu ke hendak memperbodohkan rakyat demi kenyataan populis yang langsung tak ada faedah,” katanya.
Semalam, Akmal berkata beliau bersedia mengemukakan semula surat peletakan jawatan sebagai Exco Melaka selepas menerima cabaran bekas pemimpin DAP, Tan Sri Teng Chang Khim.
Bagaimanapun, beliau menetapkan syarat supaya Kor Ming turut melepaskan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan terlebih dahulu.
Akmal berkata, sekiranya syarat itu dipenuhi, beliau akan mengotakan janji untuk menyerahkan semula surat peletakan jawatan.
Sebelum ini, Akmal memaklumkan hasratnya meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka tidak dapat diteruskan kerana tidak diperkenankan TYT Melaka, walaupun sebelum itu beliau beberapa kali menyatakan kesediaan untuk berundur.
Kenyataan terbaharu beliau mencetuskan pelbagai reaksi apabila dilihat bercanggah dengan penjelasan terdahulu mengenai kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.