Calon AMANAH Paroi terbukti rajin bekerja, kata Dr Dzulkefly

FOTO BERITA: Program Ziarah Kasih calon Harapan N.25 Paroi Uts. Shahir bersama Naib Presiden Amanah YB DS Dr Dzulkuply Ahmad merangkap Menteri Kesihatan di Kg. Sentosa, Senawang, Negeri Sembilan. 21hb Julai 2026 (Selasa)

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi supaya memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Ustaz Muhammad Syahir, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauannya sepanjang program Ziarah Kasih di Kampung Sentosa dan beberapa kawasan sekitar, Ustaz Muhammad Syahir telah membuktikan komitmen serta kerja lapangan yang konsisten sehingga dikenali ramai penduduk setempat.

“Saya mendapati ramai warga taman dan penduduk mengenali beliau atas kerja-kerja baik yang telah dilaksanakan. Ini memberi keyakinan bahawa beliau mampu meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat sekiranya diberi mandat,” katanya pada sidang media sempena program Ziarah Kasih calon PH DUN Paroi di Kampung Sentosa, Senawang, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kesemua sembilan calon AMANAH yang diketengahkan pada PRN Negeri Sembilan telah melalui proses pemilihan yang teliti dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.

Dr Dzulkefly berkata, kesemua sembilan calon AMANAH yang diketengahkan pada PRN Negeri Sembilan telah melalui proses pemilihan yang teliti dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa barisan calon tersebut mampu memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut beliau, pendekatan kempen kali ini lebih memberi tumpuan kepada aktiviti turun padang, menyantuni rakyat dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi penduduk, berbanding hanya bergantung kepada ceramah politik.

“Hari ini sahaja saya menziarahi tujuh lokasi. Di setiap rumah yang kami kunjungi, penduduk mengenali calon kami dan mengetahui kerja yang telah beliau lakukan. Pendekatan seperti ini lebih berkesan kerana ia membina keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pilihan raya bukan sekadar pertandingan retorik atau siapa yang paling lantang berkempen, sebaliknya medan untuk membuktikan keupayaan calon dalam berkhidmat kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau berkata penggunaan media sosial oleh jentera kempen PH juga menunjukkan perkembangan positif apabila setiap calon berjaya diperkenalkan dengan lebih meluas kepada masyarakat.

“Pendekatan bersemuka, disokong dengan kempen media sosial yang tersusun, diyakini mampu meningkatkan keyakinan pengundi terhadap calon-calon Pakatan Harapan,” katanya.