Dakwaan rosakkan objek simbol agama Hindu: Tamim mengaku tidak bersalah
Aktivis yang berdepan pertuduhan merosakkan objek simbol agama Hindu, Tamim Dahri Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Langkawi hari ini.
Tamim, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa merosakkan objek simbol agama Hindu iaitu tombak bercabang tiga atau “soolam”, dengan pengetahuan bahawa perbuatan memijak objek itu adalah menghina agama Hindu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor, Kuah, di Langkawi antara 3.30 petang hingga 6.30 petang pada 8 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Ain Nur Sofea Noridan memohon mahkamah supaya tidak membenarkan jaminan atas alasan OKS mempunyai risiko tinggi untuk melarikan diri ke luar negara.
Menurutnya, berdasarkan rekod perjalanan, OKS mempunyai kecenderungan untuk mengelakkan diri daripada proses undang-undang.
Namun, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili Tamim Dahri memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin memandangkan Seksyen 295 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang boleh dijamin.
Diikat jamin
Hanif turut merujuk Seksyen 387 Kanun Tatacara Jenayah yang menyatakan seseorang individu yang ditangkap atau ditahan tanpa waran bagi kesalahan boleh jamin, berhak dibebaskan dengan jaminan sementara.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.
Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Untuk rekod, Tamim dikatakan melarikan diri ke Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac lalu, bagi mengelak siasatan berhubung kes ugutan menerusi Facebook.
polis juga memohon Notis Merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan dan membawanya pulang ke tanah air untuk menghadapi pertuduhan.
Hasil siasatan lanjut polis mendapati, Tamim berada di Thailand lebih empat bulan sebelum kembali ke negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.
Namun, dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Port Dickson pada 18 Julai lalu.
Susulan itu, Tamim ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dia direman selama dua hari bermula 19 Julai hingga semalam sebelum ditahan semula untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah hari ini.
BACA JUGA ‘Siapa lagi saya nak luah kalau tidak kepada penjawat awam’, PM mohon maaf bersuara tinggi