RM1.5 juta melonjak lebih RM30 juta, anak muda diseru pilih fakta tolak politik sentimen

Anak muda Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak membiarkan masa depan negeri ditentukan oleh emosi, sentimen perkauman atau permainan agama, sebaliknya menilai setiap parti berdasarkan fakta, rekod dan kemampuan mentadbir.

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pengundi muda perlu membuat pertimbangan matang menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan

Beliau memetik pesanan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Kamil Abdul Munim, yang menyeru anak muda di negeri itu agar menggunakan ilmu dan fakta sebelum membuat pilihan.

“Anak muda Negeri Sembilan, undilah dengan ilmu, fakta dan pertimbangan yang matang,” kata Kamil seperti dipetik Fadhli.

Menurut Fadhli, antara rekod yang wajar menjadi pertimbangan ialah pengukuhan kedudukan kewangan Yayasan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min.

Katanya, kedudukan kewangan yayasan berkenaan dilaporkan melonjak daripada sekitar RM1.5 juta kepada lebih RM30 juta.

Peningkatan itu bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya memberi ruang lebih besar untuk manfaat dikembalikan kepada anak-anak Negeri Sembilan menerusi bantuan pendidikan, biasiswa dan kebajikan mahasiswa.

“Pengukuhan ini amat penting kerana manfaatnya dikembalikan kepada anak-anak Negeri Sembilan, khususnya melalui bantuan pendidikan, biasiswa dan kebajikan mahasiswa,” katanya.

Kebajikan penjawat awam

Dalam masa sama, Fadhli berkata, pentadbiran kerajaan negeri turut membuktikan keprihatinan terhadap kebajikan penjawat awam.

Bagi tahun 2026, Bantuan Khas Kewangan minimum dua bulan gaji dan maksimum tiga bulan gaji diumumkan kepada lebih 6,000 penjawat awam negeri sebagai penghargaan terhadap prestasi serta sumbangan mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, pencapaian itu memperlihatkan sebuah pentadbiran yang bukan sahaja mempunyai kedudukan kewangan kukuh, malah berkongsi hasil kemajuan dengan golongan yang menyumbang kepada kelancaran pentadbiran negeri.

Pada masa sama, ekonomi Negeri Sembilan terus dipacu menerusi kemasukan pelaburan, pembangunan infrastruktur serta penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan.

Justeru, Fadhli menegaskan kestabilan yang dinikmati ketika ini perlu dipertahankan supaya momentum pembangunan tidak terhenti akibat percaturan politik sempit.

“Inilah kestabilan yang perlu kita pertahankan dan teruskan demi masa depan generasi muda,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen perkauman dan agama yang sengaja dimainkan bagi menimbulkan ketakutan serta memecah-belahkan masyarakat.

Sebaliknya, pengundi diminta membandingkan rekod, pencapaian dan kemampuan setiap kerajaan dalam mengurus kewangan, menjaga kebajikan rakyat serta menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi muda.

“Anak-anak muda Nogori, jangan mudah dipengaruhi sentimen perkauman dan agama yang sengaja dimainkan untuk memecah-belahkan kita.

“Nilailah berdasarkan rekod, pencapaian dan kemampuan sesebuah kerajaan menjaga rakyat,” katanya.

Peluang anak muda

Fadhli berkata, PRN kali ini merupakan peluang kepada anak muda Negeri Sembilan untuk menentukan sama ada pembangunan dan kestabilan yang dibina di bawah kepimpinan Tok Min dapat diteruskan.

“Kito jangan undi dek emosi semato-mato. Undilah dengan ilmu dan fakta.

“Berilah sokongan kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai Tok Min untuk terus memacu Negeri Sembilan yang kito cintai ini.

“Kekal HARAPAN, Undi HARAPAN!” seru Fadhli lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 28 Julai ini dan hari mengundi pada 1 Ogos 2026.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan sejumlah 889,490 pemilih terdiri daripada 867,151 orang pengundi biasa, 16,884 orang tentera serta pasangan dan 5,455 orang polis.

Semasa PRN ke-15 pada 2023, PH membentuk kerajaan negeri bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat hanya lima kerusi.

BACA JUGA Kekal Harapan di Negeri Sembilan, ini 10 komitmen utama untuk rakyat