KWAP rugi RM163.4 juta, tapi benarkah pencen penjawat awam kini terancam?
Kerugian pelaburan sebanyak RM163.4 juta yang dialami Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, perlu dipertanggungjawabkan, namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk mendakwa dana persaraan itu hampir bankrap atau tidak lagi mampu membantu kerajaan membayar pencen penjawat awam.
Penasihat Politik Perdana Menteri, Tengku Zafrul Aziz, berkata angka sebenar pelaburan KWAP ialah RM163.4 juta, bukannya RM200 juta seperti yang tular di media sosial.
Beliau menjelaskan KWAP hanya memegang 2.51 peratus saham dalam eFishery dan merupakan pelabur minoriti bersama beberapa institusi pelaburan antarabangsa termasuk Temasek, SoftBank, Northstar dan Fortitude X Fund.
Menurutnya, siasatan mendapati pengurusan eFishery telah memalsukan penyata kewangan syarikat selama beberapa tahun sehingga memperdayakan pelabur-pelabur global.
“KWAP membuat keputusan pelaburan berdasarkan maklumat kewangan yang kemudiannya didapati telah dimanipulasi.
“Proses penilaian (due diligence) tetap dilaksanakan sebelum pelaburan dibuat, namun penipuan itu turut memperdayakan beberapa dana pelaburan terbesar dunia,” katanya.
Tengku Zafrul berkata KWAP kini telah melengkapkan siasatan dalaman dan sedang menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin dana yang dilaburkan.
Katanya, beberapa langkah penambahbaikan turut dilaksanakan termasuk memperkukuh pengurusan pelaburan pasaran swasta, mempelbagaikan portfolio, memperluaskan pelaburan bersama rakan strategik berpengalaman serta meningkatkan pemantauan selepas pelaburan dibuat.
Beliau turut menegaskan bahawa pencen penjawat awam tidak terjejas kerana pembayaran pencen kekal menjadi tanggungjawab kerajaan.
“KWAP bukan seperti KWSP yang mempunyai akaun simpanan individu. Apa yang berlaku kepada satu pelaburan tidak menyebabkan pencen penjawat awam tidak dapat dibayar,” katanya.
Mengulas isu sama di Dewan Negara baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan KWAP dalam eFishery telah melalui proses penilaian profesional melibatkan pengurus dana, kajian kebolehlaksanaan, panel pelaburan dan kelulusan lembaga pengarah tanpa campur tangan politik.
Anwar berkata pelaburan berkenaan turut melibatkan beberapa pelabur institusi terkemuka dunia yang sama-sama menjadi mangsa penipuan, sekali gus menunjukkan kes itu bukan berpunca daripada keputusan KWAP semata-mata.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya wujud unsur rasuah atau salah laku dalam pelaburan tersebut.
“Jika ada unsur salah laku, SPRM mesti menyiasat. Saya telah mengarahkan supaya kerjasama penuh diberikan,” kata Perdana Menteri.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan supaya prestasi KWAP dinilai secara menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan satu pelaburan.
Menurut beliau, KWAP merekodkan keuntungan bersih RM12.9 bilion pada 2024, manakala saiz dananya meningkat kepada kira-kira RM195 bilion, dengan pulangan tahunan sekitar 9.3 peratus.
Tengku Zafrul berkata hakikat bahawa kerugian itu hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan portfolio KWAP tidak bermaksud isu tersebut boleh dipandang ringan.
“RM163.4 juta tetap wang awam. Setiap sen yang boleh diperoleh semula mesti diusahakan, dan jika terdapat kecuaian atau kelemahan, tindakan mesti diambil mengikut prinsip akauntabiliti,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat berhak mengetahui fakta sebenar, namun pada masa yang sama tidak wajar disogok dengan dakwaan bahawa KWAP hampir muflis atau kerajaan tidak lagi mampu membayar pencen kerana dakwaan sedemikian tidak berasaskan kedudukan kewangan sebenar KWAP.
BACA JUGA ‘Siapa lagi saya nak luah kalau tidak kepada penjawat awam’, PM mohon maaf bersuara tinggi