Mesyuarat sulit nak tumbangkan kerajaan? GRS,GPS pula kata tak pernah tahu

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan bahawa ia akan menyertai pertemuan bersama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini, ketika spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya penjajaran politik baharu semakin hangat diperkatakan.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kepimpinan gabungan itu tidak pernah membincangkan sebarang cadangan untuk mengadakan mesyuarat berkenaan.

Menurutnya, tumpuan GRS ketika ini adalah kepada pembangunan Sabah dan kebajikan rakyat negeri itu, selain menghormati hakikat bahawa kerajaan Persekutuan masih mempunyai baki tempoh pentadbiran lebih satu setengah tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Tidak pernah ada sebarang perbincangan dalam kalangan kepimpinan GRS mengenai pertemuan seperti itu.

“Lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan kesan konflik geopolitik global,” katanya.

Khabar angin mengenai pertemuan itu mula tular di media sosial hari ini, dengan dakwaan pemimpin BN, PN, GPS dan GRS akan mengadakan mesyuarat sebelum mengadakan sidang media pada jam 2 petang.

Spekulasi tersebut dipercayai tercetus susulan kerjasama pilihan raya antara BN dan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof turut menafikan dakwaan bahawa gabungan itu terlibat.

Beliau berkata, GPS tidak pernah dihubungi atau menerima sebarang jemputan untuk menghadiri pertemuan yang diperkatakan.

“Ya, tiada,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan kewujudan mesyuarat berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan tersebut dan menegaskan BN akan terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal kerajaan dan berlangsungnya PRU16.

Sebelum ini, seorang penganalisis politik berpandangan GPS dan GRS dijangka terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan sekiranya BN mengambil keputusan menarik balik sokongan.

Ketika ini, kerajaan pimpinan Anwar mempunyai sokongan 151 daripada 222 Ahli Parlimen, sekali gus melepasi majoriti mudah 112 kerusi dan mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Daripada jumlah itu, 77 kerusi disumbangkan Pakatan Harapan (PH), 30 BN, 23 GPS dan tujuh GRS, selain sokongan beberapa parti kecil dan Ahli Parlimen Bebas, manakala PN memiliki 68 kerusi.

Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 menyaksikan Parlimen tergantung sebelum BN, GPS dan GRS bersetuju menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, sekali gus membolehkan Kerajaan Perpaduan dibentuk.

BACA JUGA KWAP rugi RM163.4 juta, tapi benarkah pencen penjawat awam kini terancam?Â