Pakatan Harapan Negeri Sembilan lancar manifesto “Negeri Sembilan Maju 2045”

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan Negeeri Sembilan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun selaku Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan. 20hb Julai 2026 (Isnin)

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan melancarkan manifesto pilihan rayanya bertemakan “Negeri Sembilan Maju 2045” dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, di Klana Resort, Seremban.

Manifesto tersebut menggariskan komitmen PH untuk meneruskan genda pembangunan negeri yang stabil, progresif dan inklusif dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi mampan, peluang pekerjaan berkualiti, pendidikan, perumahan, kebajikan serta pembangunan seimbang di seluruh Negeri Sembilan.

Dalam ucapannya, Aminuddin berkata manifesto berkenaan bukan sekadar menawarkan janji baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan kepada dasar-dasar yang telah terbukti berjaya sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan di negeri itu.

Beliau berkata sepanjang mentadbir Negeri Sembilan, kerajaan negeri berjaya mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, memperkukuh jaringan kebajikan rakyat, meningkatkan pembangunan pendidikan dan infrastruktur serta mengekalkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh.

Manifesto “Negeri Sembilan Maju 2045” turut menggariskan 10 komitmen utama, antaranya mengekalkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat; memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR); mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menerusi Malaysia Vision Valley 2.0; menyediakan pendidikan berkualiti; membina 20,000 rumah mampu milik serta menyelesaikan isu tanah.

Selain itu, PH turut memberi penekanan kepada pembangunan belia, wanita dan institusi keluarga melalui Program Kepimpinan Belia (Upaya@9), pemerkasaan wanita WADANI serta penubuhan Tabung Usahawan Belia (TUB).

Manifesto itu juga memberi fokus kepada pembangunan pelancongan dan warisan adat menerusi Pelan Pelancongan Negeri Sembilan 2030, inisiatif Tourism, Arts and Culture @ Negeri Sembilan (TAC@N9), pemerkasaan Adat Perpatih serta pembangunan kawasan FELDA.

Dalam sektor pertanian pula, PH berhasrat melaksanakan Pelan Pertanian Pintar Negeri Sembilan, memperluaskan Program Petani Muda serta memperkukuh keterjaminan makanan melalui pemodenan sektor agromakanan.

Bagi pembangunan infrastruktur, manifesto berkenaan menggariskan lima projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan bersama Kerajaan Persekutuan, iaitu pembangunan Seremban Sentral dan peningkatan kekerapan perkhidmatan Komuter Seremban-Kuala Lumpur, pembinaan Hospital Baharu Bandar Enstek, Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, pembinaan Landasan Bypass Senawang–Port Klang serta memudahcara pembinaan rumah kedua bagi generasi kedua dan ketiga FELDA.

Dalam aspek perpaduan, manifesto itu turut menegaskan komitmen PH untuk terus menyemarakkan syiar Islam, memperkukuh institusi masjid dan surau, menambah baik prasarana sekolah agama, meneruskan Dana Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) serta melaksanakan Program Komuniti Harmoni bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk.

Dalam aspek perpaduan, manifesto itu turut menegaskan komitmen PH untuk terus menyemarakkan syiar Islam, memperkukuh institusi masjid dan surau, menambah baik prasarana sekolah agama, meneruskan Dana Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) serta melaksanakan Program Komuniti Harmoni bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk.

Menurut Aminuddin, manifesto “Negeri Sembilan Maju 2045” menjadi hala tuju jangka panjang kerajaan negeri untuk memastikan kemajuan yang dinikmati adalah mampan, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira latar belakang.