Rintihan, masalah peniaga jadi keutamaan Ahmad Shahir di DUN Paroi

Rintihan peniaga tempatan berhubung isu tapak perniagaan, lesen dan kemudahan asas menjadi antara keutamaan yang mahu diselesaikan calon PH DUN Paroi, Ahmad Shahir, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Beliau berkata, sepanjang pertemuannya dengan rakyat terutama para peniaga di pasar malam, beliau mendengar banyak rintihan tentang kebajikan mereka.

“(Isu paling besar di sini) berkaitan peniaga. Peniaga di sini ramai dan perlu dimobilisasikan dengan betul. Mereka pun ada permintaan, termasuk inisiatid yang memudahkan mereka berniaga seperti lesen, infrastruktur serta kemudahan api dan air.

“Kalau kita dapat berganding dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk menyediakan tapak perniagaan dengan lebih baik, saya yakin MBS pun ada sasaran mereka supaya peniaga dapat berniaga dengan baik dan tersusun.

“Tak bolehlah biarkan siapa yang nak berniaga, berniaga. Tak boleh. Kita perlu urus dengan baik,” katanya ketika ditemui Harapan Daily hari ini.

Menurut Ahmad Shahir, peniaga sendiri mahukan sistem yang lebih teratur dengan kemudahan yang diperlukan turut disediakan.

“Baru-baru ini saya pergi ke pasar malam dan dengar sendiri rintihan peniaga. Peniaga pun minta perkara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, wakil rakyat bukan sahaja bertanggungjawab menyelesaikan isu di peringkat Dewan Undangan Negeri, malah perlu memainkan peranan menyelaras setiap masalah yang dibangkitkan rakyat dengan agensi berkaitan.

“Di Paroi, kita nak selesaikan masalah bukan tanggungjawab ADUN sahaja, tetapi bagaimana ADUN mengkoordinasi setiap masalah untuk diselesaikan termasuk soal jalan, longkang, rumah dan keselamatan,” katanya.

Beliau turut merayu agar pengundi memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di DUN Paroi dengan membawa pendekatan politik khidmat.

“Mudah-mudahan beri saya peluang untuk berkhidmat. Saya tekankan politik khidmat. Saya akan kerja keras supaya lebih banyak khidmat yang boleh dimanfaatkan rakyat,” katanya.