Sembang ‘penyatuan Melayu’ tapi Umno-Pas-Bersatu hanya mahu besarkan kuasa politik saja
Naratif penyatuan Melayu atau ummah oleh Umno, Pas dan Bersatu sebenarnya demi membesarkan kuasa parti politik masing-masing.
Penganalisis politik, Liyana Marzuki berkata, pengalaman selepas Langkah Sheraton menunjukkan tiga parti berteraskan Melayu itu boleh berada dalam satu gabungan, namun masing-masing mempunyai matlamat politik yang berbeza.
Beliau berpendapat Umno mahu kembali berkuasa demi kelangsungan politik, Pas membawa cita-cita membentuk pemerintahan berteraskan konsep negara Islam, manakala Bersatu pula mahu menggantikan Umno sebagai parti utama Melayu.
“Tiga parti boleh duduk semeja tetapi akhirnya, untuk membesarkan kuasa masing-masing, mereka perlu makan kawasan satu sama lain,” katanya menerusi catatan bertajuk Bina Kuasa.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC) itu berkata, persaingan merebut kawasan pengaruh itu sudah berlaku ketika ketiga-tiga parti berada dalam kerajaan Persekutuan pada penggal lalu.
Liyana merujuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bertembung ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Menurutnya, pergolakan politik yang menyusul sehingga negara menyaksikan pertukaran beberapa Perdana Menteri akhirnya menyebabkan gabungan berkenaan berpecah dan gagal memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan secara bersendirian pada PRU15.
Jauh berbeza
Mengulas kemungkinan kerjasama baharu menjelang PRU16, Liyana berkata kedudukan kerusi parti-parti terbabit kini jauh berbeza.
Beliau mendakwa BN hanya mempunyai 23 kerusi Parlimen, berbanding 62 kerusi yang dikuasai blok Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), merangkumi 43 kerusi Pas dan 19 kerusi Wawasan.
“BN hanya mempunyai kira-kira satu pertiga daripada jumlah kerusi Pas-Wawasan.
“Kalau mereka bersama, adakah Pas-Wawasan mahu mengorbankan 62 kerusi yang mereka sudah kuasai untuk memberi laluan kepada BN?” soalnya.
Menurut Liyana, kemungkinan lebih besar ialah BN akan diminta memberi tumpuan kepada kerusi yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH), sekali gus meletakkan parti itu dalam pertandingan lebih sukar.
Beliau turut berpandangan kerjasama BN dengan Pas berpotensi menimbulkan dilema kepada MCA yang perlu berdepan reaksi pengundi bukan Melayu.
Situasi itu, katanya, boleh memberikan kelebihan politik kepada DAP, khususnya sekiranya wujud penolakan dalam kalangan penyokong tradisi MCA terhadap kerjasama berkenaan.
“Mungkin sebab itu pemimpin BN kembali menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, sekurang-kurangnya sehingga hujung penggal.
“Mereka tentu tahu risiko sebuah gabungan yang akhirnya mungkin hanya menguntungkan satu pihak,” katanya.
Bagaimanapun, Liyana mengingatkan PH supaya tidak keterlaluan menyerang BN susulan pertembungan parti-parti itu dalam pilihan raya negeri.
Katanya, sokongan politik antara parti bagi menjatuhkan atau menggantikan sesebuah pentadbiran bukan perkara baharu, malah pernah berlaku sepanjang krisis politik negara sebelum ini.
Berebut kuasa
Dalam masa sama, Liyana turut menolak gambaran bahawa masyarakat Melayu biasa hidup dalam keadaan berpecah-belah sehingga memerlukan ahli politik untuk menyatukan mereka.
Menurutnya, rakyat terus menghadiri kenduri, menunaikan solat berjemaah dan menyambut perayaan bersama tanpa masalah besar.
“Orang Melayu biasa dah lama bersatu. Kita pergi kenduri bersama, solat di masjid bersama, berhari raya bersama.
“Yang selalu memecahkan Melayu ialah permainan orang politik di atas sana. Mereka berebut kuasa, kita di bawah yang porak-peranda,” katanya.
Beliau berkata rakyat tidak seharusnya menerima slogan kesatuan bangsa secara membuta tuli tanpa meneliti bentuk pemerintahan yang mahu diwujudkan.
Sebaliknya, parti-parti yang membawa gagasan kerajaan Melayu-Islam perlu menjelaskan polisi ekonomi, pendidikan dan pembangunan untuk memastikan anak muda Melayu berkemahiran serta mampu bersaing.
Model Islam
Liyana turut mempersoalkan model negara Islam yang mahu dibawa oleh parti-parti berkenaan sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
Katanya, rakyat berhak mengetahui sama ada model tersebut mengambil pendekatan Iran, Turkiye, Arab Saudi atau Afghanistan di bawah Taliban kerana setiap negara mempunyai sistem pemerintahan berbeza.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada larangan perjudian dan arak benar-benar akan dilaksanakan, selain pendirian terhadap rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa kelulusan.
“Adakah mereka berani mengharamkan judi dan arak seperti laungan perjuangan mereka? Mampukah mereka merobohkan rumah ibadat haram yang mereka canang-canangkan sekarang?” soalnya.
Menurut Liyana, parti yang mahu membentuk kerajaan berteraskan Melayu-Islam juga perlu menjelaskan dasar terhadap rakyat Malaysia daripada kaum dan agama lain.
Mantan Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, bukan Melayu membentuk kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan rakyat dan tetap mempunyai hak sebagai warganegara.
Antara perkara yang perlu diperjelas ialah sama ada peraturan seperti pengasingan jantina di salun di Kelantan akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya Pas menerajui pentadbiran Persekutuan.
Selain itu, katanya, rakyat juga perlu mengetahui sama ada pelaksanaan hudud masih menjadi agenda Pas di peringkat nasional.
“Ya, anda mahu kerajaan Melayu-Islam. Tetapi bagaimana anda mahu melayan rakan senegara walaupun mereka bukan seagama dan sebangsa?
“Mereka tetap warganegara Malaysia,” tegas pengendali audio siar ‘Jangan Pajak Otak’ itu lagi.
Liyana berkata, beliau sentiasa berhati-hati apabila ahli politik melaungkan slogan penyatuan Melayu dan penyatuan ummah kerana pihak yang paling memerlukan kesatuan berkenaan mungkin sebenarnya golongan elit politik.
“Isunya, adakah kerana mahu bina negara atau mahu bina kuasa?
“Kita tepuk dada dan kaji selera mereka,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Perang habis-habisan terhadap ‘scam’: 5.5 bilion SMS, panggilan meragukan berjaya disekat