Anwar ingatkan jangan putus kawan, ‘Madu dan Racun’ iringi gambar bersama Zahid
Di tengah-tengah pelbagai tafsiran mengenai hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan satu hantaran ringkas tetapi sarat mesej mengenai persahabatan dan kemuafakatan.
Menerusi media sosialnya petang ini, Perdana Menteri berkongsi serangkap pantun yang menegaskan bahawa perbezaan langkah tidak seharusnya menyebabkan hubungan sesama rakan terputus.
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan;
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.
Lebih menarik perhatian, pantun Pengerusi PH itu disertakan dengan lapan keping gambar yang memaparkan Anwar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Gambar-gambar yang turut bersama anggota jemaah menteri lain itu dirakamkan selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Menerusi gambar berkenaan, Perdana Menteri dan Pengerusi BN itu dilihat berbual serta bergelak ketawa.
Perkongsian serangkap pantun dan sejumlah gambar berkenaan dilatari dengan lagu ‘Madu dan Racun’ dendangan penyanyi Indonesia yang popular pada era 1980-an.
Kesetiaan BN
Hantaran itu muncul ketika kesetiaan BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH di peringkat Persekutuan mencetuskan tanda tanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pada 1 Ogos ini, kesemua 36 calon PH Negeri Sembilan berdepan dengan kesepakatan ‘senyap’ BN dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam PRN ke-16 kali ini, BN bertanding hanya di 25 dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN meletakkan calon di baki 11 kerusi.
Keputusan PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan PH membentuk kerajaan negeri bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 kerusi DUN.
PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala PN memperoleh lima kerusi.
Sebelum ini, Anwar memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, kepimpinan tertinggi PH dan BN berulang kali menegaskan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya kekal utuh dan kerjasama pentadbiran akan diteruskan.
Malah, Zahid turut menegaskan Umno akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno lalu.
BACA JUGA M40 kini tak lagi tercicir, PH janji perluas bantuan hingga pendapatan RM8,000