Bukan sekadar mengenang tokoh, kerajaan MADANI suntik RM2 juta perkukuh legasi pemikiran Al-Qaradawi
Usaha memperkasa penyelidikan dan pengembangan pemikiran Islam berteraskan kesederhanaan menerima suntikan baharu apabila Kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi.
Pengumuman itu dibuat sempena Majlis Perasmian Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan tersebut bertujuan menyokong usaha penyelidikan serta memperkukuh penghayatan terhadap pemikiran Allahyarham Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, yang disifatkannya sebagai tokoh pembaharuan Islam berpengaruh di peringkat dunia.
Menurut beliau, Al-Qaradawi bukan sekadar seorang ulama, malah merupakan pencetus perubahan yang menampilkan pendekatan terbuka dalam pemikiran Islam serta sentiasa menggalakkan pembaharuan bagi menghadapi cabaran semasa.
Anwar turut mengimbau pengalamannya berinteraksi dengan Al-Qaradawi ketika aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada awal 1980-an.
Katanya, ketika kebangkitan gerakan Islam semakin berkembang, Al-Qaradawi pernah mengutuskan satu risalah kepada pimpinan ABIM yang menasihatkan supaya pertubuhan itu menjauhkan diri daripada aliran ekstrem dan terus berpegang kepada prinsip wasatiyah atau kesederhanaan.
“Bagi saya, nasihat ini amat penting ketika meningkatnya semangat dan aliran pemikiran yang tidak terbuka menerima pandangan yang berbeza pada waktu itu,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan yang dibawa Al-Qaradawi terus relevan dalam menghadapi cabaran semasa, khususnya dalam membina masyarakat Islam yang progresif tanpa mengabaikan prinsip agama.
Anwar turut mengakui beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Allahyarham, bukan sahaja dari sudut pemikiran, malah menerusi persahabatan yang terjalin sejak sekian lama.
“Saya amat terhutang budi kepada Al-Qaradawi sama ada dari segi idea pemikiran, dukungan moral dan persahabatan yang dibina atas asas keikhlasan.
“Semoga ikhtiar seperti ini akan mendapat barakah, membawa manfaat dan mencerahkan umat,” katanya.
Peruntukan RM2 juta itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha Institut Pemikiran Al-Qaradawi memperluas kajian, wacana ilmiah dan penerbitan berkaitan pemikiran tokoh berkenaan, khususnya dalam mempromosikan pendekatan Islam yang sederhana, inklusif dan sesuai dengan cabaran masyarakat kontemporari.