Terkejut lihat cara menekan PN ziarah rakyat uzur, beza betul dengan Tok Min

Mengejutkan apabila melihat cara calon Perikatan Nasional (PN) berkunjung ke rumah rakyat yang terlantar ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dilihat tiada rasa empati, sebaliknya ramai memuji pendekatan berhemah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mesra disapa sebagai Tok Min semasa menziarahi rakyat yang uzur.

Menerusi rakaman video yang tersebar di media sosial, calon PN berkenaan dilihat selamba meminta warga emas yang uzur itu mendoakan kemenangan gabungan PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menewaskan Pakatan Harapan (PH).

“Mohon doakan saya dan kawan-kawan di bawah PN dan BN menang, jadi kerajaan Negeri Sembilan. Kita tolak PH,” katanya dalam rakaman tersebut.

Susulan itu, tindakan tidak beradab calon PN berkenaan ketika berhadapan dengan warga emas yang sedang terlantar mengundang kecaman orang ramai di media sosial.

Rata-rata mempersoalkan kesesuaian menjadikan kunjungan kepada rakyat uzur sebagai ruang meraih sokongan politik, lebih-lebih lagi apabila individu yang diziarahi berada dalam keadaan tidak berdaya.

Namun, cara Tok Min yang merupakan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu menziarahi seorang ibu yang uzur dilihat menarik perhatian orang ramai.

Penuh berhemah

Dalam rakaman video perbandingan itu, Naib Presiden PKR berkenaan dilihat bercakap dengan intonasi lembut dan penuh berhemah, selain memberikan kata-kata semangat kepada ahli keluarga warga emas berkenaan.

“Minta maaflah pada mak. Esok tiada dia (ibu), katil ini ingatkan dia.

“Kalau balik rumah, saya tengok satu sudut rumah, walaupun (ibu) tiada, kita rasa ada. Kita akan rindu.

“Insya-Allah, syurga untuk mak kita. Kita doakanlah selalu. Insya-Allah,” kata Tok Min dengan nada suara yang lembut.

Tok Min yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri kemudian mengakhiri kunjungannya dengan memimpin bacaan doa bersama keluarga tersebut.

Cara beliau berinteraksi dengan warga emas dan ahli keluarganya meraih pujian ramai kerana dilihat lebih mengutamakan empati, adab serta perasaan mereka yang sedang berdepan ujian.

Selain itu, netizen turut mengingatkan tentang batas kempen politik ketika menziarahi rakyat yang sakit dan uzur.

Bagi orang ramai, kunjungan seperti itu walaupun ketika kempen pilihan raya sepatutnya menjadi ruang memberikan sokongan moral dan ketenangan kepada keluarga, bukannya kesempatan mendesak mereka menyatakan sokongan politik.

BACA JUGA Pas wajibkan ahli undi calon BN tapi ini 6 sikap MCA tentang Islam