Anwar: Malaysia maju jika anak muda pilih perpaduan, bukan kebencian
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan muda agar tidak membiarkan politik kebencian, perkauman dan prejudis menjadi racun yang memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya memilih jalan perpaduan sebagai asas membina masa depan negara.
Berucap dalam Program Jelajah Rakan Muda di Paroi malam tadi, Anwar berkata generasi muda perlu menjadi pelopor kepada budaya saling menghormati dan menerima kepelbagaian kaum serta agama yang menjadi kekuatan Malaysia.
Menurut beliau, kemajuan negara hanya mampu dicapai jika rakyat terus mempertahankan perpaduan dan menolak sebarang usaha yang mencetuskan perpecahan.
“Jangan biarkan politik kebencian, perkauman atau prejudis memecah-belahkan kita kerana Malaysia hanya akan maju jika kita memilih perpaduan, saling menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu elemen yang mengikat kita semua,” katanya.
Selain menyentuh soal perpaduan, Anwar turut menggesa anak muda mengejar ilmu bersungguh-sungguh, namun mengingatkan bahawa pendidikan tidak seharusnya dipisahkan daripada nilai kebijaksanaan dan akhlak.
Beliau berkata ilmu tanpa hikmah berpotensi melahirkan individu yang angkuh, manakala ilmu yang dipandu nilai kemanusiaan mampu membentuk generasi berintegriti, berani mempertahankan kebenaran serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat.
Perdana Menteri turut menegaskan ukuran kejayaan seseorang bukan hanya terletak pada pangkat, kedudukan atau kekayaan yang dimiliki.
Sebaliknya, katanya, nilai kemanusiaan, integriti dan keupayaan menyatukan masyarakat adalah ukuran sebenar kejayaan sesebuah generasi.
“Jadilah generasi yang berilmu, berintegriti, berjiwa ihsan dan sentiasa memilih untuk menyatukan, bukan memecahkan,” katanya.
Anwar berkata beliau yakin Malaysia akan terus aman, maju dan bermaruah sekiranya anak muda terus berpegang kepada prinsip perpaduan, ilmu dan nilai kemanusiaan dalam menghadapi cabaran masa depan.
BACA JUGA M40 kini tak lagi tercicir, PH janji perluas bantuan hingga pendapatan RM8,000Â