Anwar yakin Nazri mampu teruskan momentum Tok Min di Ampangan

 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan yang sedang dinikmati penduduk Ampangan perlu diteruskan dengan memberikan mandat kepada calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Kassim, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Anwar berkata demikian selepas turun padang bersama jentera dan calon PH itu dalam sesi santai bersama penduduk di Benteng Ampangan petang semalam.

Menurut beliau, pertemuan tersebut bukan sahaja memberi peluang mendengar sendiri pandangan penduduk, malah memahami isu serta keperluan pembangunan yang masih perlu diberi perhatian.

Katanya, maklum balas yang diterima menunjukkan penduduk menghargai usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, khususnya dalam menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu kawasan Ampangan.

“Alhamdulillah, rata-rata penduduk menyambut baik usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun, khususnya dalam menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu masyarakat Ampangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, Nazri membawa komitmen untuk memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan bukan sekadar menaik taraf kemudahan awam, malah mampu merancakkan ekonomi setempat serta memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Menurutnya, usaha itu akan diperkukuh melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan MADANI.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sekiranya diberi mandat oleh pengundi, Nazri mampu meneruskan khidmat kepada rakyat Ampangan, manakala Aminuddin akan terus menerajui pentadbiran negeri dengan memberi tumpuan kepada pembangunan, kebajikan rakyat dan tadbir urus yang berkesan.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan Ampangan menjadi antara kerusi yang mendapat perhatian apabila PH mempertaruhkan Nazri untuk mempertahankan penguasaan gabungan itu di kawasan berkenaan.

BACA JUGA ANALISIS | Tidak tepat samakan eFishery dengan 1MDB, jom tengok fakta