Bang Mat dedah syarat Malaysia tak perlu lagi beras import

Hasrat Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap beras import hanya mampu dicapai sekiranya semua pihak berganding bahu meningkatkan hasil pengeluaran padi negara, kata Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mesra dipanggil Bang Mat, beliau berkata, usaha mencapai tahap bekalan beras yang mencukupi bukan tanggungjawab kerajaan atau pesawah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta.

“Orang selalu tanya Bang Mat, bila kita nak cukup beras sendiri dan tidak perlu terlalu bergantung kepada beras import?

“Benda ini bukan kerja seorang dua. Nak bagi bekalan beras negara cukup, semua kena tolong. Pesawah kena usaha, kerajaan negeri kena bantu, Kerajaan Persekutuan kena sokong dan pihak swasta pun kena sama-sama turun padang,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Mohamad berkata, antara langkah utama yang perlu diberikan perhatian ialah meningkatkan hasil padi bagi setiap kawasan penanaman, bukan sekadar membuka atau menambah keluasan sawah baharu.

Jelasnya, peningkatan produktiviti penting bagi memastikan pengeluaran padi tempatan mampu berkembang secara konsisten dan seterusnya memperkukuh keselamatan bekalan makanan negara.

“Sebab itu Bang Mat ulang dari dahulu, kalau nak beras cukup, hasil padi kita kena naik.

“Bukan setakat tambah sawah sahaja, tetapi hasil daripada setiap bendang itu mesti lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan sedang dilaksanakan menerusi Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan yang menggunakan kaedah pengurusan lebih tersusun, teknologi moden, mekanisasi serta amalan pertanian yang telah terbukti mampu meningkatkan hasil.

Menurutnya, projek itu telah dilaksanakan di Perlis, Kedah dan beberapa kawasan lain sebelum diperluaskan ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Pahang.

Sudah menguning

Mohamad yang turun meninjau sendiri aktiviti penuaian padi di Pekan berkata, keadaan sawah yang sudah menguning menunjukkan pelaksanaan projek berkenaan mula membuahkan perkembangan positif.

“Awal pagi tadi Bang Mat datang ke Pekan untuk melihat sendiri mereka menuai padi. Seronok melihat bendang sudah menguning.

“Inilah tanda Projek SMART SBB Ala Sekinchan sudah mula dilaksanakan di kawasan IADA Pekan,” katanya.

Beliau optimis hasil pengeluaran padi negara dapat ditingkatkan sekiranya semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan teratur dan bersungguh-sungguh.

Bang Mat berkata, peningkatan hasil tempatan bukan sahaja mampu menambah pendapatan pesawah, malah dapat mengukuhkan bekalan beras negara dan mengurangkan risiko akibat kebergantungan berlebihan terhadap pasaran luar.

“Kalau semua pakat buat kerja elok-elok, insya-Allah hasil padi kita makin banyak. Bila hasil bertambah, bekalan beras negara pun semakin kukuh.

“Tidaklah kita terlalu bergantung kepada beras dari luar. Perlahan-lahan kita buat. Yang penting jangan berhenti berusaha. Insya-Allah, ada hasilnya nanti,” kata Mohamad lagi.

BACA JUGA Komik PN makan diri, netizen ungkit harga telur mahal, minyak masak hilang