Buli sampai retak tengkorak: WARDA gesa tiada kompromi, pelaku mesti dihukum

Wanita Muda AMANAH (WARDA) menggesa tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pelaku kes buli membabitkan seorang pelajar berusia 14 tahun yang dipercayai dipukul sehingga mengalami keretakan tengkorak dan pendarahan dalaman.

Dalam satu kenyataan hari ini, WARDA menyifatkan insiden itu sebagai bukti bahawa budaya buli di sekolah tidak lagi boleh dianggap sebagai isu disiplin semata-mata, sebaliknya sudah menjurus kepada perbuatan jenayah yang mengancam nyawa.

Pengerusi Biro Pendidikan WARDA, Akira Fatiha berkata, pihaknya memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan empat pelajar bagi membantu siasatan.

Beliau berharap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan menyeluruh sebelum mana-mana individu yang didapati bersalah dibawa ke muka pengadilan.

“Kes ini membuktikan bahawa buli dan keganasan dalam kalangan pelajar bukan lagi isu disiplin biasa. Ia adalah jenayah yang boleh mengakibatkan kecederaan serius, trauma berpanjangan dan merosakkan masa depan mangsa,” katanya.

Menurut Akira, setiap mangsa buli berhak mendapat pembelaan melalui saluran undang-undang yang disediakan.

Katanya, selain tindakan jenayah oleh pihak berkuasa, keluarga mangsa juga boleh mempertimbangkan remedi yang diperuntukkan di bawah Akta Antibuli 2026 (Akta 876).

Dalam masa sama, beliau menegaskan ibu bapa turut memikul tanggungjawab besar dalam membentuk sahsiah dan disiplin anak-anak bagi mengelakkan budaya buli terus berakar dalam masyarakat.

“Kegagalan membentuk akhlak, disiplin dan rasa hormat terhadap orang lain hanya akan menyuburkan budaya buli. Buli mesti dihentikan bermula dari rumah dan diperkukuhkan melalui pendidikan nilai di sekolah,” katanya.

WARDA turut menyatakan kesediaan membantu keluarga mangsa sekiranya diperlukan, termasuk memudahkan akses kepada khidmat guaman berdasarkan keperluan kes.

Mengakhiri kenyataannya, Akira menegaskan pendirian organisasi itu bahawa tiada ruang untuk bertolak ansur terhadap sebarang bentuk buli.

“Tiada toleransi, tiada kompromi. Buli tidak boleh dinormalisasikan, tidak kira di mana ia berlaku. Setiap pelajar berhak berada dalam persekitaran yang selamat.

“WARDA akan terus mendesak agar setiap kes diambil tindakan sewajarnya, setiap mangsa dibela dan setiap pelajar dilindungi,” katanya.

BACA JUGA Tok Min dah buat yang terbaik, sekarang giliran kita pertahankan – Yuneswaran