“Bumbung tercabut mampu ditahan…”, Apa sebenarnya maksud pantun Zahid kepada Anwar?

Di tengah-tengah spekulasi hubungan antara PH dan BN, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini tampil membalas pantun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media tadi, Ahmad Zahid berkata, pantun tersebut dibuat malam tadi sejurus selepas beliau membaca hantaran pantun Anwar yang tular ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Saya pun ada pantun juga. Saya nak balas. Saya buat pantun ini jam 9.04 malam tadi, lepas keluar berita. Ini pantunnya.

“Mendaki ke Gunung Tahan, jatuh ke gaung temui maut, bumbung tercabut mampu ditahan, jika ribut, diterbang ke laut,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan menghuraikan maksud tersirat pantun berkenaan sebaliknya memberi bayangan bahawa hubungan beliau dengan Anwar masih berada dalam keadaan baik.

“Hubungan kita baik-baik sahaja. Tengok lah, apa saja yang (kita) tak buat. Lain semua okey,” katanya dalam nada bergurau ketika ditanya mengenai hubungan beliau dengan Anwar.