Laporan RCI Tabung Haji bakal didedah? Anwar kata rakyat berhak tahu apa sebenarnya berlaku

Kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH), sekali gus membuka ruang kepada orang ramai menilai sendiri dakwaan berkaitan penjualan aset strategik institusi itu yang terus menjadi polemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan berkenaan boleh diterbitkan seawal hari ini sekiranya tidak memerlukan kelulusan Jemaah Menteri, namun jika prosedur Kabinet perlu dipatuhi, ia akan dibentangkan selepas mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Saya akan rujuk kepada Ketua Setiausaha Negara sama ada perlu kelulusan Jemaah Menteri atau tidak.

“Jika tidak perlu, saya akan terbitkannya hari ini. Kalau perlu, saya tunggu Rabu kerana rakyat harus tahu,” katanya selepas merasmikan Wacana Global Ekonomi Manusiawi 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan sebelum ini memilih untuk tidak mendedahkan laporan tersebut kerana bimbang ia boleh mencetuskan krisis keyakinan dalam kalangan pendeposit ketika TH sedang melalui proses pemulihan.

Menurut beliau, ketika itu institusi berkenaan masih berdepan kesan salah guna kuasa dan pelanggaran tatakelola yang menjejaskan kedudukan kewangannya.

“Kebimbangan kita pada waktu itu ialah kemungkinan berlaku pengeluaran simpanan secara besar-besaran oleh pendeposit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan kini jauh berbeza apabila TH kembali stabil dari segi kewangan serta ditadbir dengan lebih telus dan berintegriti.

Katanya, di bawah kepimpinan Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain, institusi itu kini beroperasi dengan tadbir urus yang lebih kukuh dan diaudit secara ketat.

“Sekarang saya rasa Tabung Haji telah bertapak baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan serta menyebarkan laporan itu,” katanya.

Dakwaan penjualan aset kembali hangat

Hasrat kerajaan mendedahkan laporan RCI itu hadir sehari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata isu berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri susulan dakwaan kononnya aset strategik TH dijual ketika proses penstrukturan semula institusi itu.

Zulkifli menegaskan dakwaan bahawa bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik TH adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau menjelaskan pemindahan aset yang kurang berdaya maju kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 merupakan keputusan kolektif Jemaah Menteri bagi menyelamatkan kedudukan kewangan TH.

Menurutnya, ketika itu Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia mengenal pasti jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion antara aset dan liabiliti TH.

Pada masa sama, kira-kira RM6 bilion simpanan dikeluarkan oleh pendeposit dalam tempoh singkat akibat krisis keyakinan, manakala usaha mendapatkan pembiayaan kecemasan turut gagal.

Beliau berkata kerajaan ketika itu berdepan risiko menanggung liabiliti sehingga RM74.5 bilion memandangkan semua simpanan TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Pemulihan TH

Zulkifli berkata langkah penstrukturan semula yang dilaksanakan akhirnya membuahkan hasil apabila deposit TH meningkat daripada sekitar RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Selain itu, kadar agihan keuntungan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus bagi tahun 2025, iaitu yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Kos menunaikan ibadah haji pula berjaya dikekalkan selama tiga tahun berturut-turut bermula 2024 meskipun berdepan tekanan inflasi global.

Pendedahan laporan RCI itu dijangka menjadi dokumen penting bagi menjelaskan keputusan-keputusan yang dibuat ketika proses penstrukturan semula TH serta menamatkan polemik berhubung dakwaan penjualan aset strategik institusi kewangan umat Islam itu.

BACA JUGA ‘Agama Tionghua, agama Tamil’? Ucapan Jalaluddin cetus persoalan di media sosial