Mujahid tunggu kebenaran didedah dalam laporan RCI selepas lama difitnah isu TH
Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menantikan pendedahan laporan akhir Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, selepas bertahun-tahun beliau berdepan fitnah ketika usaha penstrukturan semula institusi itu antara 2018 hingga 2020.
Beliau berkata, sejak 2023 lagi beliau telah beberapa kali bertanya di Dewan Negara bilakah laporan RCI TH akan didedahkan kepada awam, namun pada waktu itu jawapan yang diperoleh adalah laporan tersebut masih di bawah Akta Dokumen Rahsia (OSA)
Beliau mengimbas kembali bagaimana operasi penstrukturan semula Tabung Haji yang berada dalam keadaan defisit, dijadikan kesempatan untuk Pas dan Umno sebagai pembangkang waktu itu menyerang beliau kononnya aset TH telah dijual oleh beliay dan Lim Guan Eng.
“Sehingga hari ini fitnah terhadap TH memburukkan PH dan diri saya digunakan dalam kempen-kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk yang terkini di Johor dan sekarang di Negeri Sembilan.
“Tibalah masanya kemuncak kebenaran didedahkan siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada keruntuhan TH dan siapa sebenarnya yang berusaha menyelamatkan TH
“Saya sendiri tidak sabar untuk melihat laporan tersebut supaya rakyat didedahkan apa sebenarnya yang berlaku pada TH dari tahun 2014-2020 dan siapa yang telah bertanggungjawab merosakkan TH dan apa peranan saya untuk memulihkan kembali TH dari 2018-2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama mengimbas kembali bagaimana reputasi beliay dipertaruhkan dengan fitnah yang berlegar di media sosial kononnya sebagai orang yang bertanggungjawab menjual aset TH kepada bukan Islam.
Beliau juga dituduh sebagai menteri yang merosakkan TH dan pelbagai tohmahan lain.
Pun begitu, Mujahid telah memenangi banyak siri saman fitnah terhadap pemimpin-pemimpin politik yang menyebarkan fitnah tidak berasas terhadap beliau.
Beliau pernah mengemukakan tuntutan saman fitnah kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berhubung fitnah terhadap saham TH dalam TNB yang dikatakan dilepaskan.
Asyraf Wajdi kemudian meminta maaf secara terbuka sebagai syarat penyelesaian di luar mahkamah.
Mujahid juga disaman bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Shah Alam, Ahmad Dusuki Rani berhubung fitnah aset TH telah dijual kepada bukan Islam. Hasilnya pemimpin Pas itu kalah dalam samannya sendiri dan diarahkan membayar ganti rugi kepada Mujahid.
“Hanya Allah tempat saya mengadu selama beberapa tahun ini agar fakta dan bukan auta yang akan menjadi penilaian umat Islam terhadap usaha PH sebelum ini yang berusaha memenuhi janji membela institusi terbesar umat Islam dan siapa yang sebenarnya merosakkan Tabung Haji. Wahai PMX segeralah dedahkan laporan RCI TH,” ujarnya
BACA JUGA ‘RCI Tabung Haji akan tunjukkan bagaimana Insitusi itu rosak di bawah Umno’ – Rafizi