Nazri Kassim yakin sokongan positif pengundi Ampangan, fokus kempen rumah ke rumah

FOTO BERITA: Program Santai Petang bersama warga Ampangan yang turut hadir YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan dan calon Harapan N.14 Ampangan Muhammed Nazri Kassim di Benteng Medan Selera Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. 22hb Julai 2026 (Rabu)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan, Muhammed Nazri Kassim, yakin kempen yang dijalankan setakat ini menerima sambutan positif daripada pengundi berdasarkan rekod perkhidmatan serta pendekatan mesra rakyat yang dilaksanakan. Menurut beliau, pengalaman berkhidmat sebelum ini sebagai sebahagian daripada pasukan pentadbiran negeri memberi keyakinan kepada rakyat, meskipun mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Saya fikir respons pengundi agak positif dan meyakinkan. Rekod perkhidmatan kita sebelum ini memberi kesan yang baik. Sudah tentu ada kelemahan dan kita akan terus memperbaikinya sebagai satu pasukan,” katanya. Nazri berkata, sebagai anak jati Ampangan yang membesar di kawasan itu, beliau mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat dan komited untuk terus berkhidmat kepada penduduk.

Beliau menjelaskan bahawa kempen PH kali ini lebih menumpukan pendekatan menyantuni pengundi secara langsung melalui program rumah ke rumah, selain mengunjungi surau, masjid, kuil dan rumah ibadat lain berbanding mengadakan ceramah berskala besar.

“Kempen kali ini lebih kepada orang ke orang dan rumah ke rumah. Kita mahu bertemu seramai mungkin pengundi dan menyampaikan mesej secara terus,” katanya. Mengulas persaingan pilihan raya, Nazri menyifatkannya sebagai pertandingan yang sihat dan terbuka, sambil menegaskan PH akan terus berkempen secara positif tanpa menyerang pihak lawan.

Beliau turut menggariskan beberapa keutamaan sekiranya diberi mandat, termasuk memperkukuhkan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan raya, longkang, parit, sungai serta pengurusan sisa pepejal bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk. Selain itu, beliau berkata usaha pemulihan sungai yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu akan diteruskan, termasuk merancang pembangunan kawasan rekreasi di sepanjang jajaran sungai yang sedang dinaik taraf melalui peruntukan kerajaan Persekutuan.

“Hasrat kita ialah mewujudkan kawasan rekreasi yang lengkap dengan landskap yang baik supaya penduduk boleh berjoging, berbasikal dan beriadah. Kita juga melihat potensi mewujudkan ruang perniagaan makanan dan minuman bagi merancakkan ekonomi setempat,” katanya. Menyentuh maklum balas yang diterima sepanjang kempen, Nazri berkata isu banjir, penyelenggaraan sungai dan sistem saliran merupakan antara aduan utama yang dibangkitkan oleh penduduk.

Beliau berkata keadaan sistem perparitan di Kampung Ismail memerlukan perhatian segera kerana terdapat masalah reka bentuk saliran yang menyebabkan air bertakung dan meningkatkan risiko banjir.

“Kita perlu mencari penyelesaian terhadap masalah saliran ini supaya aliran air lebih lancar. Penyelenggaraan sungai dan longkang perlu dilakukan secara berkala dan berterusan demi kesejahteraan penduduk,” katanya.