PH: Perpaduan Ummah perlu berteraskan kebaikan, bukan perebutan kuasa

FOTO BERITA: Sidang Media Pakatan Harapan bersama YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, Ketua Penerangan KEADILAN, Hj Khalid Samad, Pengarah Komunikasi AMANAH dan YB Cha Kee Chin, Setiausaha DAP Negeri Sembilan di Kalan Resort Seremban. 23hb Julai 2026 (Khamis)

Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa konsep perpaduan ummah perlu diasaskan kepada nilai kebaikan, ketakwaan dan kepentingan rakyat, bukannya dijadikan alat politik untuk menjatuhkan kerajaan yang sedang berprestasi.

Perkara itu ditegaskan dalam sidang media bersama yang diadakan di Kalan Resort, Seremban, melibatkan Pengarah Komunikasi AMANAH, Hj Khalid Samad; Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil; serta Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

Perkara itu ditegaskan dalam sidang media bersama yang diadakan di Kalan Resort, Seremban, melibatkan Pengarah Komunikasi AMANAH, Hj Khalid Samad; Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil; serta Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

Menurut Hj Khalid, sidang media bersama tersebut merupakan yang pertama di peringkat pimpinan melibatkan tiga komponen utama Pakatan Harapan dan dijangka akan diteruskan secara berkala bagi menjelaskan pendirian gabungan itu terhadap isu-isu semasa.

Mengulas naratif yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berhubung seruan perpaduan ummah, PH berkata perpaduan pada asasnya merupakan satu perkara yang baik, namun ia perlu dinilai berdasarkan tujuan sebenar di sebaliknya.

Merujuk kepada Surah al-Maidah ayat 2, Khalid menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya supaya saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan serta menghindari kerjasama yang membawa kepada kejahatan dan permusuhan.

PH berpandangan bahawa usaha menyatukan pihak tertentu semata-mata untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang didakwa sedang menunjukkan prestasi baik bukanlah satu bentuk perpaduan yang selari dengan tuntutan agama.

Selain itu, PH turut menegaskan bahawa perpaduan yang diasaskan kepada sentimen kaum atau kelompok semata-mata boleh membawa kepada semangat asabiah, yang telah diperingatkan oleh Nabi Muhammad SAW agar dijauhi.

Sebaliknya, Pakatan Harapan menegaskan perjuangannya adalah untuk membina perpaduan yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dengan matlamat memperjuangkan kebajikan, keadilan serta kesejahteraan negara.

PH turut mendakwa bahawa kerjasama politik antara BN dan PN lebih didorong oleh kepentingan mendapatkan kuasa berbanding kepentingan rakyat. Sehubungan itu, PH menyeru rakyat, khususnya pengundi Melayu, supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen perkauman atau emosi politik, sebaliknya membuat penilaian berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan sesebuah kerajaan dalam membela kebajikan rakyat.

Sidang media itu turut memaklumkan bahawa pimpinan PH akan terus mengadakan sesi penerangan bersama bagi menjelaskan pendirian gabungan berhubung pelbagai isu yang timbul sepanjang kempen politik.