PRN Negeri Sembilan bukan sekadar soal negeri, keyakinan Sabah dan Sarawak turut dipertaruhkan

OLEH PHAR KIM BENG

Politik di Semenanjung Malaysia tidak lagi boleh dipisahkan daripada realiti politik di Sabah dan Sarawak.

Era kerajaan Persekutuan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Semenanjung sambil menganggap Sabah dan Sarawak akan mengikut arus politik nasional, sudah berakhir.

Kini, percaturan kerusi di Parlimen sangat jelas: tiada kerajaan Persekutuan yang stabil dan berkekalan mampu bertahan tanpa sokongan bermakna dari Borneo.

Atas sebab itulah Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membawa mesej penting yang jauh melangkaui sempadan negeri berkenaan. Ia bukan sekadar menentukan pihak yang akan mentadbir sebuah negeri.

Sebaliknya, pilihan raya itu turut menentukan sama ada formula politik yang diamalkan di Semenanjung mampu meyakinkan atau menjauhkan Sabah dan Sarawak.

Sekiranya formula itu tepat, Kerajaan Persekutuan akan menjadi lebih kukuh.

Namun, jika percaturannya tersasar, Malaysia berisiko menyaksikan jurang politik dan psikologi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang akan menjadi semakin besar.

Kebimbangan ini bersifat struktural, bukannya semata-mata berkaitan keputusan pilihan raya. Sabah dan Sarawak secara konsisten menunjukkan bahawa mereka lebih cenderung kepada politik sederhana, penerimaan masyarakat berbilang kaum serta federalisme berperlembagaan.

Politik berasaskan eksklusivisme agama dan mobilisasi identiti pula tidak begitu mendapat tempat di kedua-dua wilayah berkenaan berbanding di banyak kawasan di Semenanjung.

Oleh itu, sebarang percaturan politik di Semenanjung yang dilihat memberi ruang lebih besar kepada kelompok yang membawa agenda keagamaan lebih sempit, pasti menimbulkan kegusaran di seberang Laut China Selatan.

Persoalannya bukan sekadar sama ada sesebuah gabungan mampu memenangi kerusi di Negeri Sembilan atau tidak 

Persoalan yang lebih besar ialah sama ada kaedah yang digunakan untuk memenangi kerusi berkenaan menghantar isyarat yang meyakinkan atau membimbangkan kepada Borneo.

Sabah dan Sarawak berulang kali menekankan kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), peningkatan autonomi negeri, pembangunan yang lebih adil, pelaburan infrastruktur serta penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya mereka.

Keutamaan berkenaan berbeza daripada banyak isu yang mendominasi perdebatan politik di Semenanjung.

Strategi politik yang gagal memahami perbezaan itu berisiko menyebabkan rakyat di Sabah dan Sarawak merasakan politik nasional semakin tertumpu kepada kepentingan Semenanjung semata-mata.

Persepsi sedemikian mempunyai kesannya.

Kerajaan Persekutuan dibina bukan sahaja berasaskan jumlah kerusi, tetapi juga kepercayaan.

Apabila kepercayaan semakin terhakis, kerjasama di Parlimen akan menjadi lebih bersifat transaksional, lebih rapuh dan akhirnya semakin tidak stabil.

Oleh itu, Negeri Sembilan bukan sekadar sebuah lagi medan pilihan raya negeri.

Ia menjadi ujian untuk menentukan sama ada politik kesederhanaan masih mampu bertahan dan diterima di Semenanjung Malaysia.

Sekiranya politik kesederhanaan semakin lemah, pemimpin politik di Borneo pasti akan mula mempersoalkan sama ada kepentingan jangka panjang mereka lebih terjamin dengan mengambil jarak yang lebih besar daripada perkembangan politik di Semenanjung.

Ini tidak bermaksud pemisahan.

Sebaliknya, ia bermaksud sikap politik yang lebih berhati-hati.

Ia juga bermaksud rundingan yang semakin bebas dan berdikari.

Pada masa sama, perundingan dengan Kerajaan Persekutuan akan menjadi semakin sukar selepas setiap pilihan raya.

Malaysia tidak mampu menanggung keadaan sedemikian.

Pertumbuhan ekonomi negara semakin bergantung kepada Sabah dan Sarawak.

Peralihan tenaga negara pula sangat bergantung kepada sumber tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki Sarawak.

Jaminan makanan negara juga semakin bergantung kepada potensi pertanian Sabah dan Sarawak.

Hubungan serantau dalam Asean turut memerlukan integrasi yang lebih kukuh antara Semenanjung dengan Borneo.

Dengan kata lain, Borneo bukan lagi sekadar penentu pihak yang membentuk kerajaan.

Borneo kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan masa depan Malaysia.

Hal ini menjadikan simbolisme politik amat penting.

Setiap strategi pilihan raya utama yang dilaksanakan di Semenanjung diperhatikan dengan teliti di Kuching dan Kota Kinabalu.

Justeru, sekiranya Pakatan Harapan tewas, mesej politik yang muncul daripada Negeri Sembilan akan bergerak jauh melangkaui Selat Melaka.

Adakah politik di Semenanjung memperkukuh kepelbagaian Malaysia, atau semakin menyempitkannya?

Sekiranya jawapannya semakin menjurus kepada perkara kedua, perbezaan politik antara kedua-dua wilayah akan menjadi semakin sukar dielakkan.

Negeri Sembilan sebenarnya menawarkan peluang untuk membuktikan bahawa politik gabungan masih boleh bersifat inklusif, pragmatik dan berteraskan Perlembagaan.

Ia boleh menegaskan kembali bahawa federalisme berfungsi kerana setiap wilayah mempunyai budaya politik yang berbeza, namun masih kekal komited terhadap sebuah negara yang sama.

Itulah antara kekuatan terbesar Malaysia sejak sekian lama.

Keseragaman tidak pernah menjadi asas negara ini.

Sebaliknya, asas Malaysia ialah sikap saling menerima dan bertolak ansur.

Pengajaran ini melangkaui satu pilihan raya.

Setiap gabungan politik yang mahu menguasai Putrajaya perlu memikirkan Negeri Sembilan dan Borneo secara serentak.

Memenangi satu wilayah tetapi kehilangan keyakinan wilayah yang lain merupakan satu percanggahan strategi.

Sesebuah kerajaan mungkin memperoleh keuntungan pilihan raya dalam jangka pendek di Semenanjung, tetapi akhirnya mendapati bahawa tindakannya telah melemahkan perkongsian Persekutuan yang menjadi asas kepada kestabilan negara.

Persekutuan tidak dapat berfungsi secara mampan sekiranya Semenanjung dan Malaysia Timur semakin bergerak mengikut logik politik yang berbeza.

Malaysia akan berjaya apabila kedua-dua wilayah berasa dihormati secara sama rata.

Malaysia pula akan berdepan kesukaran apabila salah satu wilayah merasakan nilai dan kepentingannya telah diletakkan sebagai perkara sekunder.

Itulah sebabnya formula politik yang dipilih sangat penting. Negeri Sembilan mungkin hanya sebuah negeri, tetapi adakah ia boleh membiarkan Pas menyelinap masuk dengan kerjasama bukan sahaja Umno, malah MCA dan MIC?

Sekiranya Pakatan Harapan tewas, mesej politik yang muncul daripada Negeri Sembilan akan bergerak jauh melangkaui Selat Melaka. Mesej itu akan didengari di Kota Kinabalu dan Kuching.

Sekiranya mesej berkenaan menunjukkan bahawa politik kesederhanaan, keseimbangan Perlembagaan dan penerimaan masyarakat berbilang kaum sedang digantikan dengan percaturan politik yang lebih sempit, maka amaran kepada Persekutuan tidak boleh lagi dipandang ringan.

Laut China Selatan benar-benar boleh berubah daripada sekadar pemisah geografi kepada garis pemisah nasional antara Malaysia Timur dan Semenanjung.

Sesiapa yang tersalah memilih formula politik di Negeri Sembilan perlu memahami bahawa kos politiknya tidak akan terhenti di Semenanjung.

Jangan sesekali mengetepikan Borneo. Sabah dan Sarawak merangkumi kira-kira 63 peratus daripada keseluruhan keluasan Malaysia.

**Phar Kim Beng ialah Profesor Pengajian Asean dan Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa dan Asean, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.