Akhirnya Hamzah mengaku dia keluar Umno untuk bantu Umno
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin akhirnya mengakui tindakannya meninggalkan Umno pada 2018 bukan bertujuan mengkhianati parti itu, sebaliknya didakwa dibuat untuk membantu Umno.
Hamzah mengaku berbuat demikian dalam satu ceramah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang kemudian tular di media sosial.

“Saya dulu orang Umno. Saya bukan khianat kepada Umno.
“Saya keluar Umno adalah kerana nak membantu Umno ketika itu,” katanya menerusi klip rakaman video dalam program ceramah berlatar belakangkan bendera Barisan Nasional (BN) itu.
Malah, Hamzah mendakwa keputusan meninggalkan Umno yang disertainya sejak puluhan tahun itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bertemu Najib
Beliau yang dipecat Bersatu berkuat kuasa 13 Februari lalu itu turut mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan tersebut.
“Saya keluar Umno selepas bertemu dengan Presiden (Umno), Datuk Zahid.
“Saya keluar Umno selepas bertemu dengan Datuk Zahid bersama dengan Datuk Najib,” katanya sekaligus memberi gambaran bahawa keputusannya keluar parti adalah dengan pengetahuan pemimpin tertinggi Umno ketika itu.
Hamzah, 69, mengumumkan keluar dari Umno pada 14 Disember 2018 kemudian secara rasmi menyertai Bersatu pada 12 Februari 2019 bersama beberapa bekas Ahli Parlimen Umno yang lain.
Mereka menerima kad keahlian daripada pengerusi Bersatu ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Larut sejak 2008 itu kemudiannya pernah menjadi Setiausaha Agung Bersatu, Menteri Dalam Negeri dan akhirnya Timbalan Presiden Bersatu.
Bagaimanapun, perjalanan itu berakhir apabila dia dipecat daripada Bersatu berkuat kuasa 13 Februari lalu kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Selepas dipecat, Hamzah menolak pelawaan untuk kembali menyertai Umno dan memilih untuk meneruskan perjuangan melalui sebuah entiti politik baharu.
Dia kemudiannya mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara pada 13 Jun sebelum dilantik sebagai presidennya.
BACA JUGA Penyatuan haprak, kata Ibrahim Ali terhadap penyatuan Pas-Umno