Dedah hasil siasatan RCI biar umat Islam tahu kepincangan pengurusan Tabung Haji

Kerajaan digesa mendedahkan kepada umum hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) serta mengeluarkan laporan berkenaan daripada klasifikasi Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, rakyat khususnya umat Islam dan orang Melayu berhak mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam pengurusan institusi berkenaan sehingga sebuah RCI terpaksa ditubuhkan.

Menurut Pengarah Mobilisasi Parti AMANAH Negara (AMANAH) itu, TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan, sebaliknya menggalas amanah besar dalam menguruskan kepentingan umat Islam di negara ini.

“Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang menguruskan kepentingan 100 peratus umat Islam di Malaysia.

“Justeru, institusi ini perlu dipelihara dengan sebaik-baiknya serta menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat bagi memastikan pengurusannya berjalan dengan penuh integriti dan terus membawa manfaat kepada umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abbas berkata, institusi yang ditubuhkan pada zaman bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak itu mempunyai kedudukan istimewa dan amat dekat di hati masyarakat Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mendedahkan hasil siasatan RCI agar rakyat memperoleh maklumat tepat mengenai pengurusan TH pada masa lalu.

Katanya, pendedahan itu penting bagi menjelaskan mengapa kelemahan pengurusan institusi tersebut dianggap begitu serius sehingga memerlukan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Sehingga kini, perkara itu masih belum dijelaskan secara terbuka oleh pihak kerajaan kepada rakyat.

“Hasil siasatan RCI ini amat penting kerana ia mampu menjelaskan kedudukan sebenar berhubung apa yang berlaku dalam pengurusan Tabung Haji,” katanya.

Jurang defisit

Pada 22 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.

Zulkifli ketika menjawab soalan di Dewan Negara berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.

Jelasnya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, laporan akhir RCI TH itu sedia untuk didedahkan bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik TH sebelum ini.

Anwar berkata, beliau akan merujuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mendedahkan laporan itu selepas mesyuarat Kabinet 29 Julai depan.

Mengulas lanjut, Abbas menggesa agar laporan itu dinyahkan daripada OSA supaya perjalanan dan keputusan pengurusan institusi berkenaan dapat diteliti secara terbuka.

Beliau menegaskan bahawa langkah tersebut penting demi kepentingan umat Islam, orang Melayu dan negara, selain dapat mengukuhkan keyakinan pendeposit terhadap integriti Tabung Haji.

“Segala yang berlaku kepada Tabung Haji wajar diberikan penjelasan kepada rakyat.

“Hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja inilah yang akan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku, sebagaimana yang telah diketahui umum mengenai kelemahan pengurusan Tabung Haji pada suatu ketika dahulu,” kata Abbas lagi.

BACA JUGA Jangan sorok satu baris pun, AMANAH tuntut laporan RCI Tabung Haji didedah tanpa suntingan