Kartun medium terbaik dekati rakyat fahami Malaysia Madani, kata Zunar

FOTO BERITA: Program Borak Santai Belia Sahabat Madani bersama Kartunis Zunar, Dato’ Romli Ishak, Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden PKR dan calon Harapan N14 Muhammad Nazri di perkarangan Balai Raya, Kg. Baru Blok C, Ampangan, Seremban Negeri Sembilan. 23hb Julai 2026 (Khamis)

Kartunis terkenal, Zunar berkata beliau mengambil inisiatif sendiri menghasilkan sebuah buku yang menghimpunkan kira-kira 200 kartun bagi menerangkan konsep Malaysia Madani kepada masyarakat dengan pendekatan yang lebih mudah difahami dan santai.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Borak Santai Belia Sahabat Madani bersama Dato’ Romli Ishak, Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden PKR, yang berlangsung di perkarangan Balai Raya Kampung Baru Blok C, Ampangan, di sini, pada Khamis.

Menurut Zunar, penghasilan buku tersebut bukan atas arahan mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada tanggungjawab beliau sebagai seorang kartunis selepas membuat kajian selama kira-kira sembilan bulan mengenai konsep Malaysia Madani.

“Saya pada mulanya menyangka Madani hanyalah satu slogan politik seperti slogan-slogan yang pernah diperkenalkan sebelum ini. Tetapi selepas saya mengkaji, saya dapati ia lebih daripada politik. Ia bukan slogan, sebaliknya satu kerangka nilai dan akhlak yang baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata, buku itu mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan dan kesemua 200 kartun dihasilkan sendiri tanpa menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, buku tersebut mengandungi pelbagai topik termasuk usaha membanteras rasuah, memerangi kartel dan penyeludupan, menangani isu subsidi tersasar, pengurusan hutang negara, tadbir urus serta pembangunan pendidikan.

Menurut beliau, kartun mempunyai kelebihan tersendiri sebagai medium komunikasi kerana bersifat santai, menghiburkan dan mampu menarik perhatian semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang mahupun tahap pendidikan.

“Kartun boleh menjadi alat pendidikan yang sangat penting kerana ia memudahkan orang memahami sesuatu konsep yang mungkin sukar diterangkan melalui ucapan atau penulisan yang berat,” katanya.

Beliau berharap buku tersebut dapat membantu merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dengan rakyat dalam memahami konsep Malaysia Madani.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Zunar mengingatkan pengundi supaya membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukannya sentimen.

Beliau berkata, rakyat perlu menilai pencapaian kerajaan secara objektif serta menolak sentimen perkauman dan politik kebencian yang hanya bersifat sementara. “Sentimen mungkin bertahan seminggu, tetapi keputusan mengundi memberi kesan selama lima tahun. Jangan buat keputusan ketika dipengaruhi emosi atau kemarahan,” katanya.

Tambah beliau, Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum memerlukan kepimpinan yang mampu mewakili seluruh rakyat tanpa dipengaruhi sentimen perkauman atau keagamaan.

Beliau turut menggesa masyarakat membudayakan amalan membaca dan menilai maklumat berdasarkan fakta sebelum membuat pilihan.

“Kalau kita membaca, kita akan tahu siapa yang patut dipilih. Orang yang tidak membaca lebih mudah dipengaruhi sentimen,” katanya.